Friday, March 4, 2011

Makanan Ringan Depan Pagar Sekolah


Ambil jalan mudah

KUANTAN - Kaut untung cepat. Itu kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat keghairahan penjaja mengaut keuntungan daripada si cilik di hadapan sebuah sekolah rendah, di sini.

Hasil aduan orang ramai, Sinar Harian membuat tinjauan pada jam 12.30 tengah hari sehingga 1.30 petang mendapati terdapat lebih empat penjaja yang sedang sibuk menjual sehingga tidak menyedari aksi mereka dirakam lensa kamera.

Penjaja itu juga dipercayai merupakan penduduk setempat dan menjual pelbagai jenis makanan ringan seperti aiskrim dan keropok ringan.

Mengejutkan apabila ada penjual yang datang dengan mendukung anak sambil membawa bekas kedap udara dan menunggu murid-murid sekolah pulang.

:Beberapa aduan diterima menyatakan peniaga tersebut semakin melampau kerana menjual makanan yang tidak berkhasiat kepada murid sekolah.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Othman, 42, berkata, dia sering mengingatkan dua anaknya supaya tidak membeli di luar sekolah kerana risau dengan makanan ringan yang dijual.

Menurutnya, dia memperuntukkan RM6 sehari kepada dua anak yang bersekolah di situ malah turut memeriksa baki duit belanja.

“Setakat ini mereka tidak membeli makanan yang dijual di luar kawasan sekolah kerana saya sentiasa mengingati mereka.

“Namun begitu, saya melihat situasi tersebut kurang sihat kerana makanan ringan yang dijual mempunyai pewarna selain tidak berkhasiat,” katanya.

Katanya, dia berharap, pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani perkara itu.

Seorang ibu, Nor Anizam Mohamed, 30, berkata, anaknya yang berusia lapan tahun sering kehabisan duit belanja kerana sering membeli di luar kawasan sekolah sementara menunggu van sekolah mengambilnya.

Menurutnya, anaknya pernah mengalami sakit perut kerana makan asam yang dijual peniaga terbabit.

“Tahun lepas, dia mengalami sakit perut. Bila saya tanya, dia beritahu, dia makan asam yang dibeli di luar sekolah.

“Saya juga memeriksa poket bajunya dan menjumpai plastik asam tersebut. Saya sangat tidak bersetuju dengan apa yang berlaku dan berharap tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment