Saturday, November 26, 2011

berjuta mykad hilang

1.3 juta MyKad hilang
Oleh Ardyhansah Amat
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,358,197 kad pengenalan dilaporkan hilang sepanjang tempoh lima tahun sehingga Mac tahun ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 56,059 kad pengenalan dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Berdasarkan statistik, berlaku penurunan kes kehilangan kad pengenalan sepanjang 2007 hingga 2011. Sebanyak 387,951 kes dilaporkan pada 2007 dan jumlah itu berkurangan sebanyak 50 peratus pada 2010 iaitu 198,105 kes kehilangan.

"Namun jumlah itu masih dianggap tinggi apatah lagi ia membabitkan dokumen yang penting bagi setiap individu," katanya ketika dihubungi Harian Metro (HM), di sini semalam.


Ketika diminta mengulas mengenai penyalahgunaan kad pengenalan yang hilang oleh sesetengah pihak termasuk penipuan dalam membuat pinjaman bank, Jainisah berkata masalah itu berada di luar kawalan JPN.


"Memang JPN tidak dapat mengawal masalah penipuan seperti yang dilaporkan dalam HM hari ini kerana semua urusan itu dilakukan oleh individu berkenaan dengan pihak bank.

"Bagaimanapun JPN sentiasa mengemaskini maklumat yang dikenali Agency Link-Up System (ALIS) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pihak bank membuat semakan terhadap pemegang kad pengenalan termasuk alamat serta gambar sebenar," katanya.

Tambahnya, sebelum meluluskan pinjaman, bank komersial dalam negara ini boleh membuat semakan identiti individu yang membuat pinjaman kewangan dalam sistem ALIS melalui BNM.

"Selain itu, bank komersial juga boleh membuat semakan terus kepada Bahagian Kad Pengenalan JPN bagi mengenalpasti pemilik kad pengenalan yang sah.

"JPN menggalakkan agensi kewangan membuat pemeriksaan terperinci status seseorang sebelum meluluskan pinjaman bagi mengelakkan penipuan berlaku seperti yang dilaporkan dalam akhbar," katanya.

Akhbar ini, kelmarin melaporkan seorang pemandu lori, Zilah Mahmood yang terpaksa menanggung hutang lebih RM100,000 selepas mendakwa kad pengenalannya yang hilang pada 2001 digunakan individu lain membuat pinjaman bank untuk pembelian dua buah kereta pada 2003.

Berikutan gagal 'melunaskan' pinjaman itu, Zilah kini diisytiharkan muflis selain terpaksa melunaskan tunggakan kereta tersebut walaupun tidak pernah membelinya.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata setiap pembeli kereta perlu datang berjumpa sendiri dengan pihak bank untuk menandatangani surat perjanjian pinjaman dan bukannya melalui orang tengah.

"Sekiranya berlaku masalah seperti ini, orang ramai boleh menghubungi BNM dan mengemukakan bukti kehilangan kad pengenalan melalui laporan polis atau pengesahan JPN," katanya.



Orang ramai boleh menghubungi BNM di talian 1300885465 atau datang sendiri ke pejabat dan cawangan BNM seluruh negara untuk membuat aduan berkaitan.

No comments:

Post a Comment