Lelaki patah hidung
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Seorang kakitangan syarikat peminjam wang berlesen mendakwa ditumbuk di hidungnya sehingga patah oleh seorang anggota bomba semasa hendak berbincang tentang masalah tunggakan hutang lelaki itu.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa, R. Mugentiran, 27, pergi ke pejabat anggota bomba berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubunginya.
Menurut Mugentiran, dia kemudian memperkenalkan diri sebagai kakitangan syarikat itu dan menyatakan hasrat untuk berbincang bagi menyelesaikan hutang lelaki itu yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, namun secara tiba-tiba, anggota itu berang sebelum menolak dan cuba memukulnya dengan sebiji batu tetapi ia berjaya dihalang oleh lima anggota bomba lain di lokasi kejadian.
"Walaupun tidak berjaya memukul saya dengan batu berkenaan, dia tetap menarik baju saya dan menumbuk di hidung saya sehingga patah dan berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya, Selayang, dekat sini hari ini.
Mugentiran memberitahu, dia ditugaskan oleh majikannya untuk berbincang dengan anggota itu yang mempunyai tunggakan hutang sejak beberapa bulan lalu.
"Saya seperti biasa berkunjung ke lokasi yang dinyatakan, mempamerkan identiti kerja saya dan memaklumkan mahu berbincang bagi menyelesaikan masalah hutang itu," katanya.
Dia yang masih terkejut tidak menyangka kejadian itu menimpa dirinya selepas tiga tahun berkhidmat sebagai pegawai pelawat lokasi.
"Saya sudah mendapat rawatan lanjut di Damai Hospital dan diminta mengambil cuti sakit selama dua minggu sehingga keadaan hidung saya sembuh," katanya.
Katanya, berikutan itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Selayang pada hari yang sama.
No comments:
Post a Comment