Tidak pernah puas dengan satu wanita
AWAL bulan ini masyarakat gempar dengan kemunculan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Shah Bunga.
Hebatnya lelaki ialah dia memiliki 21 isteri yang dikahwininya dalam tempoh sembilan tahun biarpun realitinya dia adalah bekas banduan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Setiap kali berkahwin, lelaki yang digambarkan sebagai bertubuh sasa itu tidak menceraikan isteri terdahulu sebaliknya ditinggalkan begitu saja tanpa ingin mengambil tahu nasib wanita-wanita tersebut.
Lelaki berimej perkasa yang gemar memakai seluar jean dan singlet itu mengahwini wanita terbabit dengan ada niat terselindung.
Wanita yang dikahwini Shah Bunga merupakan sumber pendapatannya. Caranya ialah dengan melacurkan para isterinya dan hasilnya digunakan untuk dia berjoli dan hidup mewah.
Shah Bunga merupakan cerita klise yang telah wujud sejak zaman silam dalam semua masyarakat di dunia ini dengan membawa pelbagai gelaran berbeza.
Tidak kira apa juga panggilannya sama ada lelaki mata kerajang, kasanova, romeo, don juan, playboy dan sebagainya, golongan ini memiliki kelebihan yang sama - sebagai penggoda wanita.
Golongan ini bijak mengumpan dengan kata-kata manis. Mereka cekap menonjolkan sikap mengambil berat yang merupakan salah satu kelakuan lelaki mata keranjang atau kasanova.
Ini diakui sendiri salah seorang lelaki mata keranjang, Joe (bukan nama sebenar).
Katanya, dia suka mencari wanita-wanita cantik untuk dijadikan teman ketika inginkan keseronokan.
Walaupun begitu, menurut Joe, kelakuannya itu tidak bermakna dia seorang lelaki terdesak.
Pada hakikatnya dia merupakan seorang bapa yang bertanggungjawab kepada tiga orang cahaya mata.
Katanya lagi, rumah tangga yang dibina kira-kira 16 tahun lalu juga tidak goyang. Sebaliknya dia merupakan seorang lelaki yang perlukan belaian manja selain daripada isteri sendiri.
"Berbicara mengenai lelaki mata keranjang ini susah hendak dihuraikan. Ia merupakan satu topik yang terlalu umum.
"Saya sendiri tidak tahu saya dalam kategori mana. Tetapi terus terang saya katakan, saya sukakan belaian manja seorang perempuan lain selain daripada isteri sendiri.
"Dalam erti kata lain, saya juga sebenarnya memerlukan teman untuk berbicara, dibawa berjalan-jalan dan juga tempat untuk bermanja," ujarnya dalam satu pertemuan yang dirancang di sebuah kafe di ibu negara baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, jelas Joe, dia bukanlah seorang lelaki yang pandai berkata-kata apatah lagi memujuk rayu mana-mana wanita.
Tetapi bidang kerjanya menuntut dia bergaul dengan pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia.
Bermula sebagai pelanggan ataupun rakan sekerja, pertemuan yang kerap untuk membincangkan hal-hal kerja secara tidak langsung menjadikan mereka bertambah rapat.
Lama-kelamaan, hubungan menjadi serius dan Joe tanpa selindung mengakui pernah menjalinkan hubungan serius dengan tiga orang wanita serentak.
Malah dua daripadanya pernah dibawa berjumpa dengan isterinya untuk dijadikan isteri kedua.
Bagaimanapun ujar Joe, mungkin tiada jodoh antara mereka maka perhubungan tersebut terputus begitu sahaja.
Tidak terhenti setakat itu, menurut Joe lagi, dia juga ada kalanya akan melanggan wanita pelayan pelanggan (GRO) sekiranya mengunjungi kelab-kelab malam mahupun pusat karaoke.
Begitupun, mereka hanyalah sekadar teman untuk bersuka ria untuk tempoh waktu tertentu dan tidak lebih daripada itu.
Sementara itu, berlainan pula bagi Lan (bukan nama sebenar). Ini kerana walaupun tiada rupa, dia kini mempunyai tiga orang isteri.
Mengakui rupa bukan ukuran, Lan sememangnya pandai bermain dengan kata-kata.
Ini dibuktikan apabila menemubualnya menerusi telefon, dapat ditangkap setiap bait kata-kata yang diungkapkan oleh Lan mampu meruntun jiwa wanita yang mendengarnya.
Bagi Lan, rupa bukanlah tiket untuk memiliki wanita idaman. Malah dia mengakui hanya dengan mengungkapkan kata-kata manis, dia dapat memegang jiwa seseorang wanita.
Ia diperkuatkan lagi dengan faktor selalu berdekatan dengan wanita tersebut menyebabkan mereka senang ditundukkan.
"Jiwa seseorang wanita itu lembut sebenarnya. Tidak payah disogokkan dengan wang ringgit. Cukup dengan belaian serta sentuhan yang mampu menggugat jiwa mereka.
"Tambahan pula apabila kita sudi menjadi pendengar setia dan memberi lebih sedikit perhatian, dijamin mereka jatuh ke dalam genggaman," katanya.
Tanpa segan silu, Lan turut mengakui kini dia rapat dengan seorang gadis yang baru dikenalinya dua bulan lalu.
Ternyata seorang lelaki mata keranjang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.
Mereka tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk memikat mana-mana gadis ataupun wanita untuk dijadikan pendamping ketika diperlukan.
Dalam masa yang sama, lelaki mata keranjang akan terasa diri mereka hebat kerana mampu mengumpul dan menjadikan wanita-wanita tersebut sebagai koleksi peribadi mereka.
Bagaimanapun, Lan sempat menasihatkan wanita-wanita dan gadis-gadis agar tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang akhirnya akan menjerat diri mereka sendiri.
"Bagi golongan wanita, mereka dinasihatkan agar berhati-hati ketika berkawan dengan mana-mana lelaki kerana tidak semuanya jujur dan berhati mulia.
"Jika terperangkap dengan lelaki mata keranjang, saya percaya kehidupan mereka akan merana," katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment