Wednesday, November 16, 2011

kl dikuasai peniaga warga asing

Jangan biar warga asing kuasai perniagaan di KL

GENERASI MUDA
Kuala Lumpur

LAPORAN akhbar mengenai longgokan pendatang asing menjadi peniaga di Kuala Lumpur baru-baru ini menarik minat saya memberi sedikit ulasan.

Sebagai generasi muda, saya kecewa dengan senario ini, kerana tidak ada pihak yang memandang serius mengenainya. Saya sebagai bakal graduan, amat malu kerana pihak berwajib hanya membiarkan perkara itu berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak Malaysia.

Bukan sahaja Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR ), malahan kawasan Chow Kit Road juga menjadi tumpuan warga asing sehingga saya merasakan berada di luar negara.

Dikatakan peniaga dari Pakistan dan negara-negara lain mempunyai sejumlah modal besar. Jadi tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab meminta duit daripada warga asing ini sebagai perlindungan. Mungkin disebabkan terlalu asyik meminta 'duit kopi' sehingga pihak-pihak tertentu ini tidak sedar yang perniagaan di Jalan TAR sudah dimonopoli warga asing.

Jalan TAR hanya tinggal nama sahaja. Tetapi sayang, generasi kini telah 'menggadaikannya' dan membiarkan jalan ini dijajah.

Seperti yang kita sedia maklum, berniaga merupakan salah satu cara untuk menaikkan taraf ekonomi seseorang, juga merapatkan jurang ekonomi serta menaikkan taraf hidup sesebuah keluarga. Tetapi adakah masih ada peluang untuk bumiputera berniaga dalam kalangan warga asing?

Sekiranya anda pernah ke Plaza Low Yat untuk membeli komputer riba, pasti anda juga perasan kehadiran warga Pakistan yang memonopoli bisnes ini. Paling menyedihkan saya apabila rakyat Malaysia menjadi pekerja kepada warga Pakistan. Fakta ini bukan sahaja menyedihkan tapi amat memalukan.

Isu monopoli oleh warga asing ini bukan hanya tertumpu di Jalan TAR, tetapi di seluruh negara. Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyat. Jangan menganaktirikan Bumiputera di tempat lahir mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment