Buang sial: Wanita dakwa ditipu
MIRI 27 Nov. - Seorang wanita mendakwa kerugian sebanyak RM65,000 selepas diperdaya tiga suspek dipercayai warga China yang mengaku boleh membuang 'sial' yang ada padanya di Taman Wah Shin di sini.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, mangsa berusia 59 tahun didatangi seorang suspek bertanyakan mengenai seorang tabib di kawasan itu, sebelum datang seorang lagi suspek yang berpura-pura mengenali individu dicari itu.
Sebaik sahaja menemui tabib palsu itu, mangsa dimaklumkan yang dia memiliki wajah yang akan membawa sial di dalam keluarganya menyebabkan wanita itu mulai bimbang.
Bagaimanapun, tabib palsu itu meredakan kebimbangan mangsa dengan memaklumkan bahawa dia mampu membuang sial tersebut, namun meletakkan syarat serta upah dalam bentuk wang tunai atau barang kemas untuk membuang sial berkenaan.
Terpedaya dengan helah suspek, mangsa pulang ke rumah untuk mendapatkan semua barang kemas termasuk tiga utas gelang, rantai, 15 bentuk cincin bernilai RM50,000 serta wang tunai RM15,000 untuk diserahkan kepada suspek.
Menyedari dirinya ditipu, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Miri.
Pihak polis mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat kes itu.
No comments:
Post a Comment