Hujan batu timpa 30 rumah
Tarikh : November 14, 2011
Shamsudin berkata, hujan luar biasa diiringi angin ribut kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan lebih 30 bumbung rumah penduduk ranap diterbangkan angin.
“Angin ribut yang kencang menyebabkan banyak pokok tumbang menghempap rumah dan kenderaan serta menghalang jalan.
“Sejak 20 tahun mendiami rumah di sini, ini kali pertama kampung dilanda hujan air batu. Kira-kira 20 minit penduduk dapat melihat ketulan sebesar penumbuk dan berbentuk kecil-kecil seperti kristal,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga dia yang kebetulan berada di rumah semalam memaklumkan kelam-kabut menyelamatkan dokumen penting sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
Seorang penduduk, Siti Zabizah Ahmad, 63, berkata, dia yang berada di Gemas, Negeri Sembilan terkejut dihubungi jiran yang memberitahu bumbung rumahnya diterbangkan angin.
“Memang terkejut melihat siling rumah sudah melopong apabila bumbung diterbangkan kira-kira 50 meter dan tersangkut di rumah jiran. Malah barang termasuk permaidani habis basah terkena air hujan,” katanya.
Penduduk, Hasmah Alipiah, 41, berkata, dia percaya kejadian banjir yang sudah berpuluh kali melanda kawasan kampung itu berikutan terletak di kawasan rendah.
“Setiap kali hujan, mesti banjir. Masalahnya air melimpah dari kawasan industri yang terletak di kawasan tinggi bersebelahan kampung.
“Kalau boleh saya minta pihak berkuasa bina tembok bagi menghalang air dari kawasan tinggi ke kawasan rendah,” katanya.
Sementara itu, di lokasi berasingan di Kampung Tengah, Sinar Harian difahamkan Jalan Tempinis terpaksa ditutup tiga jam kepada kenderaan apabila air dikatakan naik ke paras tinggi ketika hujan lebat petang semalam.
Dalam pada itu Ketua Umno Cawangan Kampung Tengah Baru, Kamarudin Salim berkata, dalam kejadian itu, lebih 10 rumah ditenggelami air dan laluan kenderaan ditutup bagi mengelakkan kenderaan terbabas.
Dalam pada itu, lalu lintas di sekitar Subang Jaya sesak berikutan hujan lebat dan beberapa pokok tumbang di No 77, USJ 9/4 petang semalam.
Lokasi yang terletak berhampiran kawasan angin lintang itu menyebabkan ranting pokok patah dan menumbangkan pokok di tepi jalan menuju ke USJ 9/4.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, sebuah jentera dengan empat anggota serta seorang pegawai dari Balai Bomba Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 3.16 petang.
Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dilaporkan.
No comments:
Post a Comment