Ular sawa disangka kain buruk
JELI 2 Nov. - Seorang wanita warga emas tidak menyangka segumpal objek yang disangkanya kain buruk dalam reban ayam di belakang rumahnya, rupa-rupanya seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter dan berat 10 kilogram.
Hasmah Jusuh, 60, berkata, reptilia itu ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia memberi ternakannya makan di rumahnya di Kampung Kulim Lakota dekat sini, semalam.
Wanita itu pelik setelah mendapati bilangan ayam dalam reban tersebut berkurangan menyebabkan dia memeriksa sekeliling kawasan itu dan ternampak objek seperti kain buruk di kiri pintu reban berkenaan.
"Pada mulanya, saya ingin mengambil dan membuang kain buruk itu tetapi disebabkan cuaca ketika itu gelap, saya tangguhkan kerana bimbang juga ia ular kerana sebelum ini sudah banyak binatang peliharaan penduduk kampung hilang," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Hasmah, kira-kira pukul 4 petang dia turun ke reban untuk mengalihkan kain buruk itu dan terkejut apabila melihat seekor ular sawa besar di atas reban berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bomba Sukarela Ayer Lanas, Noranina Ab. Razak memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan ular itu dan bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan.
"Seramai lapan anggota mengambil masa lima minit untuk menangkap reptilia itu yang dianggarkan seberat 10 kilogram," katanya.
Ular berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
No comments:
Post a Comment