Tuesday, November 15, 2011

pinjam xmau bayar

Tolonglah bayar balik pinjaman PTPTN

TATKALA isu cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pembiayaan pinjaman sara hidup mulai 2013 hangat diperdebatkan, kita didedahkan pula dengan maklumat bahawa sehingga Oktober lalu, seramai 69,573 peminjam telah mendapat perintah mahkamah agar membayar balik hutang mereka.
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, tindakan mahkamah terpaksa diambil setelah peminjam gagal membayar balik pinjaman. Jumlah itu antara 104,083 peminjam yang disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.
Sehingga September lepas, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion jumlah yang sepatutnya diperoleh.
Pendedahan itu menggambarkan betapa kritikalnya tahap bayaran balik pinjaman PTPTN dan sekali gus membuatkan kita berfikir apakah cadangan PTPTN untuk tidak membiayai pinjaman sara hidup mulai 2013 itu sebenarnya ada kewajaran dan asasnya.
Buktinya, jumlah mereka yang membayar balik pinjaman walaupun setelah diarahkan oleh mahkamah ataupun disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen masih rendah. Secara logiknya, ini menunjukkan PTPTN menghadapi masalah kekurangan dana yang sangat serius untuk memberi pinjaman menampung yuran pengajian dan kos sara hidup pelajar.
Natijahnya ialah generasi akan datang bakal menerima bala hasil perbuatan peminjam yang degil dan tidak mahu menjelaskan pinjaman. Adakah ini adil kepada generasi masa depan?
Justeru, kita merayu kepada para peminjam yang masih berdegil tidak mahu menjelaskan hutang agar segera memulakan pelan bayaran balik pada kadar rendah setakat yang mereka mampu.
Walaupun nilainya kecil, ia mampu memberi impak yang besar untuk jangka panjang.
Ini penting untuk kita terus menyuntik dan menstabilkan dana PTPTN agar agensi ini dapat terus mengeluarkan pinjaman.
Bayarlah balik hutang PTPTN anda dan jangan aniaya serta menghukum generasi akan datang yang langsung tidak bersalah dalam hal ini. Ingat, masa depan mereka kini terletak di tangan anda.

No comments:

Post a Comment