Disebabkan hutang, saya sering bergaduh dengan isteri. Saya tidak salahkan dia, memang ia berpunca daripada saya yang mahu mencuba berniaga jualan langsung (MLM). Saya sanggup berhenti kerja walaupun isteri menegahnya.
Ahli keluarga yang memberi hutang ada yang bermasam muka kerana duit mereka belum saya kembalikan. Saya masih menyewa rumah disebabkan rumah yang baru dibeli terpaksa dijual kepada rakan yang simpati. Saya tidak tahu setakat mana kesabaran isteri untuk terus hidup dengan saya.
Saya berkerja sebagai pemandu lori bergaji lebih kurang RM2,000 sebulan. Ia hanya cukup untuk makan dan belanja sekolah anak. Sudah dua tahun saya gagal membayar hutang bank seperti ditetapkan dan hutang orang sekeliling.
Macam-macam program menambah pendapatan melalui Internet sudah saya cuba tetapi makin banyak duit keluar.
Saya tertekan dan sebaik terpandang orang miskin, hidup mereka nampak lebih senang kerana tiada bebanan hutang.
Saya tidak tahu sampai bila akan begini. Kini kepada Allah saja saya panjatkan doa supaya dapat melangsaikan hutang.
MUHAMMAD
Melaka
Tekanan dan putus asa mungkin menyebabkan segelintir manusia hilang pedoman dan mengambil jalan mudah semata-mata mahu melarikan diri daripada masalah.
Syukur, saudara masih mempunyai asas kukuh dan berpegang untuk terus melaluinya dengan seribu harapan Allah mempermudahkan laluan.
Satu renungan berbunyi: ‘Setiap musibah yang menimpa kita adalah atas tangan kita sendiri dan setiap musibah yang menimpa ada hikmahnya yang pada masa kini kita tidak nampak. Kekuatan diri yang diberi santapan rohani mencukupi, insya-Allah dapat melalui ujian yang melanda dengan lebih mudah’.
Dang Setia berharap saudara tidak akan berputus asa dan hadapi masalah dengan berani. Mulakan dengan nilai diri saudara dan kemampuan ketika ini. Jangan kenang kesalahan lampau dan fokus kepada usaha masa depan.
Jangan mengongkong serta menyalahkan diri kerana ia menyebabkan saudara lebih tertekan. Hadapinya dengan tenang dan tingkatkan kesabaran.
Wujudkan sokongan diri, dekatkan diri dengan Allah dan tidak putus asa memujuk isteri supaya memahami keadaan.
Teruskan usaha dan bina kekuatan supaya menemui jalan menambah pendapatan bagi melangsai hutang sedia ada.
Insya-Allah segala bebanan hutang saudara lalui dapat diringankan dan dilangsaikan.
No comments:
Post a Comment