Thursday, November 10, 2011

mula lembik dah boleh jalan

Budak lembik kembali berjalan
Oleh : WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
Tarikh : November 10, 2011
budak lembik
POKOK SENA, Kedah - Bagaikan satu keajaiban. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang sebelum ini tiba-tiba lemah dua tahun lalu, sehingga menyebabkan lumpuh seluruh badan, kini kembali normal selepas menjalani urutan terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pokok Sena, di sini.

Urutan terapi awal dilakukan selama satu tahun enam bulan oleh petugas PDK, memberi satu perkembangan positif dan kini Siti Khadijah Md Arshad sudah kembali berjalan.

Ibunya, Azizah Hamid, 43, berkata, dia bersyukur kerana dengan izin ALLAH SWT di samping usaha tanpa penat akhirnya berbaloi.

Menurutnya, badan Siti Khadijah tiba-tiba menjadi lembik ketika berusia dua tahun selepas bangun pagi.

“Waktu itu saya panik dan tidak tahu hendak buat apa-apa. Mungkin sebab demam yang kuat yang menyebabkan seluruh tubuhnya tidak bermaya.

“Saya berikhtiar dan membawanya ke PDK Pokok Sena untuk mengikuti urutan terapi yang dilakukan oleh petugas di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Menerong, dekat sini selepas dilawat rombongan PDK Pokok Sena dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pokok Sena.

Ibu tunggal kepada lapan anak itu, bagaimanapun akan terus membawa anaknya ke PDK Pokok Sena bagi mengikuti susulan urutan terapi dan pembelajaran seterusnya.

Menurutnya, dalam seminggu dia akan membawa Siti Khadijah sebanyak tiga kali ke PDK Pokok Sena.

Sementara itu, Pengerusi PDK Pokok Sena, Said Man berkata, perkembangan itu adalah kejayaan besar buat pusat berkenaan dalam memulihkan pesakit orang kurang upaya (OKU) Celebral Parsy dari peringkat awal.

“Kes Siti Khadijah adalah kejayaan kedua PDK Pokok Sena memulihkan golongan OKU Celebral Parsy daripada 20 yang berdaftar di pusat ini dalam tempoh dua tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment