Wanita guna kad ATM rakan dipenjara
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Gara-gara menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik rakannya untuk mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa, seorang wanita hamil tujuh bulan terpaksa meringkuk di penjara selama tujuh bulan.Nor Shafarilla Ahmad Tahir, 27, dihantar ke Penjara Kajang setelah gagal membayar denda berjumlah RM7,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh yang tidak bekerja itu mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Dia didakwa dengan niat curang menggunakan kad ATM Maybank kepunyaan Nurul Haireena Isnin untuk mengeluarkan wang empat kali masing-masing sebanyak RM300, RM500, RM40 dan RM250 yang kesemuanya berjumlah RM1,090.
Kesalahan itu dilakukannya antara pukul 2.37 petang, 20 Oktober 2010 dan pukul 12.35 tengah hari, 1 November lalu di empat buah ATM pelbagai bank yang terletak di Sentul, Jelatek, Jalan Kuching dan Jalan Genting-Klang di sini.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Nor Shafarilla memohon hukuman ringan memandangkan dia perlu menjaga seorang anaknya yang sedang bersekolah.
Ketika ditanya oleh Zaki Asyraf alasan wanita itu melakukan kesalahan tersebut, tertuduh hanya mendiamkan diri.
No comments:
Post a Comment