SEBELUM MENGAMUK...Els menunggang Humphrey di tasik yang dibuat khas untuk haiwan liar itu, baru-baru ini.
Marius Els dilaporkan dibaham berkali-kali Humphrey - nama badak air itu sehingga dia menemui ajalnya pada malam Sabtu lalu.
Media semalam melaporkan, mayat Els, 41, yang mempunyai kesan cedera serius ditemui terapung dalam sungai di kawasan ladangnya di Klerksdorp, wilayah Barat Laut Afrika Selatan.
Awal tahun ini, Els menjadi perhatian ramai apabila gambarnya menunggang Humphrey disiarkan.
Kata Els, Humphrey seberat 1,200 kilogram itu seolah-olah anak lelakinya sendiri.
“Perangainya juga seperti manusia,” katanya.
Menurut Els, wujud pertalian unik dan akrab di antara dirinya dengan Humphrey tetapi ia gagal difahami ramai orang.
“Bagi sesetengah orang, mereka menyangka hubungan baik manusia dengan haiwan hanya boleh berlaku jika ia membabitkan anjing, kucing dan haiwan domestik,” katanya.
Selain Humphrey, Els memelihara 20 haiwan eksotik berlainan spesies di ladang itu, termasuk zirafah dan badak sumbu.
Bagaimanapun, Els mempunyai hubungan istimewa dengan Humphrey sejak ia dibeli ketika haiwan liar itu berusia lima bulan.
Els juga membina tasik khas untuk Humphrey di ladangnya.
Ketika ini, Humphrey berusia enam tahun.
Menurut Els, dia sedar ada bahaya pada setiap haiwan peliharaannya itu dan sentiasa berhati-hati.
“Jika Humphrey berasa tidak mahu ditunggangi, dia akan mencampak saya seperti seekor kuda,” katanya satu ketika dulu.
Mac lalu, Humphrey menyerang dua pemain kenu yang melalui tasik berkenaan untuk ke Sungai berhampiran. - DM
No comments:
Post a Comment