Laporan konsisten PPSMI tak sesuai
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pernah membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.
Setelah mengkaji dasar itu dari berbagai segi, terutama kesannya yang negatif terhadap pembelajaran Sains dan Matematik, kerajaan akhirnya membuat pilihan mengubah PPSMI kepada pengajaran dua subjek itu balik ke dalam Bahasa Melayu beransur-ansur bermula tahun ini. Namun, di kala pihak yang menentang PPSMI mula merasa lega, isu sama kembali timbul menyebabkan 'luka lama berdarah kembali'.
Melalui kajian terbaru Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), PPSMI sekali lagi terbukti tidak membawa manfaat ketara terhadap pembelajaran Sains, Matematik mahupun subjek Bahasa Inggeris sendiri.
Kajian pertama dalam kohort 2007 dan 2008 diterbitkan dalam April 2008, kajian terbaru pula ialah meneruskan kajian yang sama bagi tiga kohort lagi iaitu Februari , Ogos 2009 dan Julai 2010, bagi kumpulan pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2. Dapatan dari kajian tiga kohort terbaru ini adalah konsisten atau hampir sama dengan dapatan dalam laporan 2008 itu. Ia menunjukkan PPSMI memberi kesan negatif kepada pembelajaran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah.
Berdasarkan data yang dikumpul dalam kajian terbaru itu, Isahak menunjukkan sehingga 80 peratus murid Tahun 5 'tidak faham atau kadang-kadang faham' Sains dalam bahasa Inggeris. Dapatan untuk Matematik pula menunjukkan lebih 70 peratus sukar memahami guru mengajar Matematik dan kandungan buku teks Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana mereka tidak memahami pernyataan masalah matematik yang menggunakan ayat dalam bahasa Inggeris.
Hampir 80 peratus pelajar terpaksa menggunakan buku rujukan tambahan dalam Bahasa Melayu bagi subjek Sains dan 70 peratus merujuk buku matematik dalam Bahasa Melayu untuk membantu mereka memahami kandungan Matematik dan Sains.
Tegasnya, hasil kajian tiga kohort pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2 menunjukkan data konsisten, iaitu 80 peratus pelajar sukar belajar Sains dan 70 peratus sukar mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris.
"Kami menggunakan soalan peperiksaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebenar untuk murid Tahun 4 dan Tingkatan 1 untuk menguji kesan PPSMI terhadap murid darjah 5 dan pelajar tingkatan 2.
"Bukan sahaja data kajian kami konsisten untuk Sains dan Matematik, malahan konsisten juga bagi Bahasa Inggeris. Rata-rata peratus tinggi pelajar yang skor rendah dan gagal menguasai bahasa Inggeris di bawah PPSMI," tegasnya.
Tambahnya, keputusan ujian subjek Bahasa Inggeris untuk murid bandar dan luar bandar tidak jauh bezanya, dengan murid bandar melebihi sedikit sahaja.
Menurut Isahak, pelajar Tingkatan 2 juga didapati menunjukkan keadaan serupa apabila sekitar 80 peratus sukar atau tidak faham sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
"Matematik yang menggunakan nombor lebih mudah, tetapi sains yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris lebih menyukarkan pelajar memahami konsep dan proses sains. Hasil kajian yang dikumpul dari tiga kohort menunjukkan trend yang konsisten dan menggambarkan PPSMI gagal untuk meningkatkan pembelajaran Matematik dan Sains, dan tidak juga membawa peningkatan ketara dalam Bahasa Inggeris," jelasnya.
Beliau menunjukkan juga peratus pelajar Melayu dan bumiputera yang dalam kategori cemerlang (A) cuma sekitar 20 peratus tetapi skor mereka tidaklah begitu tinggi.
"Berbeza dengan pelajar di Sekolah Kebangsaan, murid di sekolah Cina belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mandarin, dengan sedikit tambahan masa untuk mereka belajar istilah dalam bahasa Inggeris. Jadi pembelajaran Matematik dan Sains murid di sekolah rendah Cina tidak terjejas dan prestasi pelajarnya terus baik.
"Kita kena fahami fakta bahawa purata 80 peratus murid sendiri mengatakan sukar atau kurang senang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan mereka juga lemah dalam subjek Bahasa Inggeris," tegas Isahak.
Beliau turut menegaskan kaedah kajian dijalankan adalah secara saintifik sains sosial dengan data sebenar dalam jangka panjang, bukannya sebuah tinjauan pendapat golongan tertentu semata-mata.
"Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah kerajaan biasa, yang rata-rata menggambarkan juga kedudukan sebahagian besar 'sekolah harian biasa' di negara kita.
"Dakwaan kajian kami ini tidak berasas dan tidak saintifik tidak timbul kerana data kajian kami adalah konsisten bagi empat kohort meliputi tahun 2008 - Julai 2010. Data kami ini juga sebahagian besarnya selari dengan data pengkaji lain, misalnya oleh Profesor Juriah Long di Universiti Kebangsaan Malaysia (2006) dan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada 2009," ujarnya.
Menurut beliau, hasil laporan Pembina juga mengesahkan data kajiannya pada 2008, malahan menggambarkan keadaan yang lebih teruk akibat dasar PPSMI.
"Data untuk kajian kami memang tidak termasuk sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana sekolah-sekolah ini istimewa dari segi pemilihan pelajar untuk memasukinya, dan kemudahan pengajaran-pembelajaran yang kondusif.
"Keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah ini biasanya baik, seperti sepatutnya. Kami juga tidak memasukkan sekolah elit di Kuala Lumpur untuk menyatakan bahawa PPSMI itu berjaya kerana ibu bapa murid di sekolah elit ini berkemampuan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen yang baik dan memberi sokongan dan kemudahan pembelajaran yang selesa di rumah," jelasnya.
Tambahnya, sekolah-sekolah itu tidak mewakili sebahagian besar 'sekolah-sekolah biasa' di negara ini.
"Jika pelajar di sekolah-sekolah elit ini mendapat skor terbaik, ini sudah diduga kerana kemudahan di sekolahnya memang baik, cikgu terbaik, murid mendapat bantuan terbaik daripada keluarga dan sekolah mendapat pula peruntukan tambahan. Tidak munasabah kita mengguna sekolah elit ini untuk mewakili majoriti sekolah biasa di negara ini," tegasnya.
Menurutnya lagi, semua pihak harus pandai membezakan antara menguasai bidang ilmu (sains dan matematik) dengan menguasai bahasa.
"Sebahagian besar orang yang berjaya dalam negara kita (terutama orang Melayu) adalah hasil sistem kebangsaan yang ada sebelum PPSMI. Semua antara kita yang berjaya kini mencapai puncak dengan belajar dalam bahasa Melayu, dan ramai yang boleh belajar ke seluruh dunia dalam pelbagai bidang hasil pembelajaran yang kukuh dalam matematik dan sains yang diajar dalam bahasa Melayu," katanya.
Beliau menyokong kuat supaya ditingkatkan pengajaran-pembelajaran bahasa Inggeris, agar semua pelajar menguasainya dengan baik.
"Dasar Kementerian Pelajaran sekarang terhadap Bahasa Inggeris adalah sesuai sekali tetapi pendekatannya boleh diperbaiki supaya lebih berkesan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: