Saturday, October 15, 2011

ttpm. mesin basuh

Mesin rosak, 3 bulan basuh guna tangan

MESIN basuh sememangnya keperluan mustahak bagi sesebuah rumah kerana tanpa peralatan tersebut, seisi rumah akan berhadapan dengan kerumitan dalam kehidupan harian.
Mungkin perkara itu yang difikirkan oleh seorang suami bernama Hariz Faizal Maidin, 44, apabila mesin basuh yang dibelinya beberapa tahun lalu mengalami kerosakan.
Hariz Faizal kemudian menghubungi sebuah kedai elektrik yang terletak tidak jauh dari flat tempat tinggalnya dengan harapan mesin basuh itu boleh dibaiki segera.
Tidak lama kemudian, salah seorang pekerja kedai itu datang untuk mengambil mesin basuh tersebut dan menghantarnya semula pada keesokan harinya dengan dikenakan caj bayaran sebanyak RM150 bagi menukar alat ganti yang rosak.
Namun tidak lama kemudian, mesin basuh itu rosak kembali, lalu Hariz Faizal menelefon kedai elektrik itu supaya mereka menghantar salah seorang pekerja ke kediamannya untuk mengenal pasti punca kerosakan tersebut.
Kedai elektrik itu memaklumkan bahawa mesin basuh itu terpaksa dibawa ke tempatnya semula bagi mengenal pasti kerosakan yang berlaku.
Tiga bulan telah berlalu, Hariz Faizal masih tidak mendengar sebarang berita mengenai mesin basuh tersebut walaupun dia telah beberapa kali menghubungi kedai elektrik itu.
Dalam tempoh itu, isterinya, Mazni Lizawati Yatim, 39, terpaksa menggunakan tangan untuk membasuh pakaian lima orang anak mereka.
Kasihan melihat kesusahan yang dihadapi oleh isterinya itu, Hariz Faizal terpaksa membeli mesin basuh baharu yang bernilai RM560 dari sebuah pasar raya.
Berang dengan tindakan kedai elektrik itu yang mendiamkan diri tanpa sebarang perkembangan sehingga berbulan lamanya, dia kemudian mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara pada Julai lalu.
Dalam tuntutan tersebut, Hariz Faizal tidak meminta sebarang ganti rugi mahupun kos tetapi dia menuntut agar mesin basuh itu dikembalikan semula kepadanya.
Pada prosiding di hadapan Presiden TTPM, Maznah Haron, baru-baru ini, pasangan suami isteri tersebut dan wakil kedai elektrik terbabit hadir pada pendengaran kali pertama.
Wakil kedai elektrik itu yang dikenali sebagai Wong dalam pembelaannya mendakwa Hariz Faizal telah meninggikan suara semasa berjumpa dengannya. Jelasnya lagi, perkara itu sebenarnya boleh diselesaikan jika Hariz Faizal tidak bersikap demikian.
Sebaliknya Hariz Faizal membalas, dia tidak akan bersikap demikian sekiranya para pekerja kedai elektrik itu memberikan jawapan yang munasabah ketika dia bertanyakan di mana mesin basuh itu disimpan.
Pertelingkahan itu akhirnya dapat diselesaikan setelah Wong berjanji akan memulangkan mesin basuh tersebut dalam masa terdekat dan akhirnya penyelesaian bersama itu direkodkan oleh Maznah.

No comments:

Post a Comment