Tuesday, October 18, 2011

lanjutan kisah bawak pinggan

Disiplin punca guna pinggan sendiri di MRSM

HASNI SULEIMAN
Pengarah Hal Ehwal Korporat Mara Kuala Lumpur

PIHAK kami merujuk kepada surat aduan daripada Yang Prihatin bertajuk Hentikan Denda Pelajar yang disiarkan di ruangan ini pada 7 Oktober 2011.

Izinkan kami memberikan penjelasan bahawa penguatkuasaan penggunaan pinggan sendiri untuk makan di dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Kedah, kepada pelajar perempuan adalah suatu pendekatan mendidik.

Tindakan ini diambil berasaskan kepada ketidakpatuhan pelajar pada peraturan maktab. Dalam konteks ini, pihak maktab berhadapan masalah pengurusan pinggan berisi sisa makanan yang dibiarkan dan diletakkan oleh pelajar dengan sewenang-wenangnya di merata-rata tempat.

Perlu dijelaskan bahawa pinggan yang tidak diurus dan dicuci dengan kaedah yang sepatutnya boleh mendedahkan kepada kebarangkalian jangkitan penyakit.

Walaupun pelbagai peringatan dan teguran telah dibuat, ia dilihat masih tidak berjaya mendisiplinkan pelajar. Oleh kerana isu kebersihan dan kesihatan adalah isu yang dipikul oleh semua pihak yang terlibat, maka satu pendekatan yang lebih agresif telah diambil oleh pihak maktab bagi membendung sikap ini daripada berleluasa.

Dimaklumkan bahawa pihak maktab telahpun menangguhkan penguatkuasaan penggunaan pinggan sendiri mulai 7 Oktober 2011 setelah berpuas hati dengan tahap peningkatan disiplin di kalangan pelajar.

Pihak kami berpandangan tindakan yang diambil oleh maktab adalah wajar untuk mendisiplinkan pelajar agar lebih bertanggungjawab atas hak ramai, keselamatan, kesihatan serta menghormati peraturan.

No comments:

Post a Comment