Friday, October 7, 2011

ganti rugi 1.4 juta

Keputusan rayuan ganti rugi RM1.4j

PUTRAJAYA 6 Okt. - Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk membuat keputusan berhubung rayuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia yang diperintah membayar ganti rugi RM1.4 juta kepada seorang suri rumah yang kematian suami ketika dalam tahanan polis, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Datuk Aziah Ali menetapkan demikian selepas selesai mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh dan peguam P. Uthayakumar hari ini.

PDRM dan Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan ganti rugi berkenaan kepada Suzana Md. Aris ekoran kematian suaminya, Md. Anuar Sharip, 31, ketika dalam tahanan pada 19 Ogos 1999.

Md. Anuar yang merupakan seorang peniaga pasar borong ditangkap polis pada 9 Ogos 1999 di rumah mereka kerana disyaki menagih dadah dan ditahan di lokap Balai Polis Rawang.

Lapan hari selepas itu, dia mengadu sakit perut kepada seorang anggota polis di lokap berkenaan dan dibawa ke klinik sebelum meninggal dunia dalam lokap tersebut, sehari kemudian.

No comments:

Post a Comment