Sunday, October 9, 2011

libas laki

Isteri libas suami guna penyapu

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my


KES pertama suami memohon cerai di mahkamah akibat tidak tahan didera isteri berlaku tahun lalu. – Gambar hiasan

KES isteri mendera suami benar-benar berlaku di Malaysia walaupun ia kedengaran agak pelik. Akhbar juga pernah melaporkan kejadian seperti itu sejak beberapa tahun lalu.

Misalnya, seorang isteri di Sungai Petani, Kedah, sanggup membelasah si suami hanya kerana lelaki itu sering menegurnya kerana terlalu taksub dengan bomoh.

Dakwa Ibrahim, 57, yang merupakan seorang peniaga, perubahan isterinya, Saleha, 39, bermula apabila seorang bomoh muda tinggal bersama di rumah bapa mertuanya.

Beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani berhubung insiden itu.

Pemangku Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang memberitahu, sejak setahun lalu pihaknya telah menerima 50 kes melibatkan aduan suami didera oleh isteri. Beliau percaya jumlah kes seperti itu meningkat setiap tahun.

Beliau tidak menolak angka sebenar lebih tinggi kerana kaum Adam lebih malu untuk bercerita perkara sebenar berbanding kaum hawa.

Kes

Walaupun banyak kes isteri mendera suami dilaporkan, kes suami memohon perceraian disebabkan didera isteri hanya mula dikesan difailkan di Mahkamah Syariah pada tahun lalu.

“Terdapat suami yang tidak tahan didera isteri sehingga dia memohon untuk bercerai.

“Saya berpendapat perkara ini mungkin disebabkan oleh sejarah keluarga isteri seperti ibu isteri yang garang dan pernah memukul ayahnya suatu ketika dahulu.

“Perkara itu diteruskan oleh isteri apabila dia berkahwin,” katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, faktor peribadi isteri yang garang dan tegas berbanding suami yang lembut turut mendorong isteri menjadi seorang pendera dalam rumah tangga.

“Akhirnya, isteri mula mengabaikan tanggungjawab dan mengetepikan batas-batas sebagai seorang isteri,” katanya.

Menurut Musa, bentuk penderaan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami termasuklah menumbuk, menampar dan menendang.

Alat yang digunakan pula meliputi batang penyapu dan pinggan mangkuk.

Musa memberitahu, faktor ekonomi keluarga juga boleh menyebabkan berlaku kes penderaan suami.

“Isteri mungkin memberi sumbangan yang lebih banyak kepada ekonomi keluarga selain sikap suami yang kurang bertanggungjawab.

“Faktor lain ialah kurangnya pengetahuan agama dan pasangan gagal memahami semangat institusi perkahwinan,” katanya.

Bagaimanapun, suami yang didera boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1999 (Akta 521).

“Akta ini sebenarnya bukan sahaja melindungi isteri tetapi juga suami dan ahli keluarga yang lain.

“Ada juga suami yang memohon perintah tegahan daripada mahkamah bagi mengelakkan isteri daripada terus menderanya baik dari segi fizikal, emosi mahupun harta,” kata Musa.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq memberitahu, pihaknya kerap menerima aduan suami dicederakan isteri.

“Ini kerana isteri hilang rasa takut kepada suami sekali gus mendorong wanita itu menggunakan kekerasan.

“Oleh itu, pasangan perlu mengkaji semula aspek komunikasi, pengurusan ekonomi keluarga dan ikatan kasih sayang pada setiap lima tahun selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Lemah seks

Fahlina berkata, Abim telah memperkenalkan program pembangunan komuniti dikenali sebagai Tanmiyah al-Mutafakkir yang bertujuan membantu suami yang didera isteri.

“Program ini lebih berbentuk aduan panggilan telefon dan meminta khidmat nasihat khususnya bagi isu berkaitan keganasan rumah tangga. Masalah mereka akan diteliti oleh kumpulan peguam syarie Abim,” katanya.

Bagi pakar psikologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim, faktor suami yang lemah syahwat boleh mendorong isteri bertindak ganas.

“Suami kerap menolak ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks sehingga isteri tidak mampu lagi melayan si suami hingga dia sanggup bertindak memukul suami.

“Sesiapa pun apabila tahap kesabaran tidak mampu dibendung lagi boleh melakukan perkara yang di luar kemampuannya,” ujar Suradi.

Katanya lagi, faktor peribadi seperti seorang wanita yang panas baran mungkin juga menjadi punca.

“Faktor perubatan dan emosi boleh mendorong isteri mendera suami seperti semasa dia meroyan selepas bersalin.

“Tetapi sebenarnya jika suami tidak buat hal, selalunya isteri tidak terdorong untuk mendera suami,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment