Wednesday, October 26, 2011

jom sertai seminar tipu orang

Anjur seminar tipu orang

KUALA LUMPUR – Hanya bermodalkan bijak berkata-kata, seorang wanita mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit pada satu-satu masa selepas memperdaya sejumlah mangsa menghadiri temu duga dan seminar.
Lebih mudah, wanita itu menggunakan kemudahan Internet serta kain rentang bagi mengiklankan kegiatan jenayahnya untuk mencari mangsa bagi menghadiri temu duga dan seminar yang tidak wujud.
Bagi meyakinkan mangsa, suspek licik berusia 30-an itu turut menempah bilik atau dewan seminar di mana-mana hotel.
Suspek akan membayar tempahan hotel itu menggunakan cek yang akaun miliknya sudah ditutup.
Suspek kebiasaannya akan menempah hotel untuk tempoh dua hingga tiga hari untuk program tersebut.
Setiap mangsa yang terpilih dalam temu duga perlu menghadiri seminar yang dikenakan caj lebih kurang RM200 kononnya sebagai yuran penginapan dan makan.
Setakat ini, kegiatan penipuan yang dilakukan suspek sejak Jun lalu dikesan berlaku di Utara Semenanjung seperti Kedah dan Perak, dengan lima laporan polis diterima setakat ini.
Kes terkini, suspek mengiklankan di Internet dan kain rentang di sekitar Sungai Petani, Kedah kononnya dia mahu membuka sebuah sekolah agama di Sungai Petani.
Bagi merealisasi impian itu, suspek memerlukan beberapa kakitangan untuk menguruskan sekolah tersebut termasuk tenaga pengajar seperti guru agama.
Mangsa-mangsa yang berminat dengan iklan itu perlu menghadiri temu duga sebelum diminta mengikuti satu seminar berkaitan pengurusan sekolah terbabit yang turut dilakukan di hotel yang sama.
Difahamkan, mangsa-mangsa wanita tersebut mendakwa mereka berasa ditipu selepas suspek gagal dihubungi manakala seminar seperti dijanjikan di hotel itu pula tidak berjalan seperti yang dijadualkan.
Selain itu, pihak hotel turut diperdaya apabila wanita tersebut menyerahkan cek daripada akaun bank yang sudah tidak berfungsi.
Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung modus operandi itu yang dilaporkan di Kedah sejak bulan Jun lalu.

No comments:

Post a Comment