Saturday, October 8, 2011

28 tahun sembunyi baru kena tangkap

Dipenjara selepas 26 tahun bunuh kekasih

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my

SEKITAR Ogos 1985, sepasang kekasih telah bermalam di sebuah bandar kecil di Australia. Suasana romantis malam itu bagaimanapun berakhir dengan tragis apabila pasangan wanita terbabit menemui ajal akibat dicekik.

Lebih dahsyat lagi, hanya abu mayat wanita itu ditemui di dalam sebuah karavan yang hangus terbakar di lokasi kejadian di Yandoit, yang terletak di barat laut Melbourne.

Setelah kira-kira 26 tahun kejadian itu berlalu, baru kini, iaitu pada 28 September lalu teman lelaki mangsa terbabit, Stephen Albert Hutton, 56, dari Britain menerima pembalasan.

Namun hukuman yang dijatuhkan terhadapnya hanya sekadar penjara empat tahun! Itupun lelaki tersebut yang diekstradisi ke Australia pada 2009, dilaporkan dibebaskan pada 5 Oktober lalu setelah mengambil kira tempoh penahanannya sebelum ini.

Ini bermakna, lelaki itu hanya sempat meringkuk di sebalik tirai besi selama dua setengah tahun.

Ketika kejadian tersebut berlaku, pegawai penyiasat pada mulanya gagal menentukan punca kematian Sandra White, 34, meskipun teman lelaki wanita tersebut turut disoal siasat.

Pihak polis bagaimanapun membuka semula kes itu pada 2005 dengan menjadikan Hutton sebagai suspek utama.

Sebenarnya kes kematian White terbongkar semula akibat daripada pengakuan Hutton sendiri. Dia mengaku melakukan pembunuhan tersebut setelah ditahan di sebuah hospital psikiatri di London setelah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya pada 1990.

Hutton kemudian membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Agung Victoria atas tuduhan menyebabkan kematian White.

Lelaki itu mengaku mencekik White sewaktu wanita itu nyenyak tidur di sisinya sebelum menyumbat mayat wanita itu ke dalam sebuah karavan. Ia diikuti pula dengan tindakannya membakar kenderaan tersebut.

Peguam yang mewakili Hutton menyalahkan keadaan mental anak guamnya itu yang menghidap skizofrenia ketika melakukan jenayah tersebut.

Semasa menjatuhkan hukumannya, Hakim Robert Osborn menyatakan, kematian White adalah sesuatu yang tragis akibat daripada masalah mental yang dihadapi oleh Hutton.

''Pengakuan kamu menunjukkan bahawa kamu memahami dan mengakui tanggungjawab kamu kerana membunuh wanita itu kira-kira 26 tahun lalu.

''Bahan bukti secara keseluruhannya menyokong dakwaan bahawa kamu membunuh White ketika di bawah pengaruh paranoid skizofrenia.

''Kamu terbabit dalam serangan berbahaya dan menyalahi undang-undang terhadap seorang wanita yang meletakkan kepercayaan dan kasih sayang kepada kamu,'' kata hakim.

Beliau bagaimanapun menyatakan, Hutton yang mahir dalam kerja-kerja logam kepingan tidak mempunyai niat untuk membunuh ibu kepada seorang anak itu dan minda lelaki itu 'dilitupi oleh skizofrenia'.

''Akibat daripada perbuatan kamu, kamu telah merampas ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun dan merosakkan perspektifnya terhadap dunia dalam usia yang masih muda.

''Kamu juga telah meragut nyawa seorang anak perempuan daripada ibunya dan seorang kakak daripada adik-beradik lelakinya. Dalam kenyataan ahli keluarga mangsa yang dibacakan di mahkamah, mereka telah meluahkan penderitaan yang mereka alami atas perbuatan kamu dan kehilangan yang tetap mereka rasai meskipun selepas 26 tahun kematian mangsa,'' kata hakim berkenaan.

Di luar mahkamah, abang White, Robert James menyatakan bahawa keluarga mereka kecewa tetapi tidak terkejut dengan hukuman tersebut.

''Faktanya adalah dia barang kali akan dibebaskan dan saya rasa (hukuman) itu tidak mencukupi,'' katanya.

Anak tunggal wanita tersebut, Tim White turut melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan itu dan seolah-olah tidak percaya bahawa pembunuh ibunya hanya meringkuk di penjara selama dua setengah tahun.

''Tiada apa yang boleh membawa emak saya ke pangkuan saya semula tetapi kes ini telah berlanjutan selama tujuh tahun dan ia cukup memeritkan, elok juga ia berakhir di sini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment