Tuesday, October 4, 2011

cinta internet rm 50 ribu

Cinta Internet: Lelaki kasanova ditahan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Seorang lelaki kasanova warga India yang pernah menipu seorang wanita tempatan menerusi cinta Internet pada 2006, akhirnya ditahan kelmarin, setelah cuba menipu mangsa sekali lagi pada bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira lima tahun lalu itu, mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sendiri kerugian RM50,000 selepas diperdaya suspek yang kononnya ditahan kastam Australia.

Suspek mendakwa ditahan pihak berkuasa negara itu kerana membawa sejumlah barang kemas dan wang tunai yang dikatakan untuk dihadiahkan kepada mangsa di Malaysia.

Berikutan itu, suspek meminta bantuan mangsa untuk menyerahkan wang tunai RM50,000 bagi membebaskannya.

Mangsa yang percaya memasukkan kesemua jumlah wang itu ke dalam satu akaun diberikan suspek sebanyak empat kali melalui perkhidmatan Western Union.

Suspek kemudian menghilangkan diri sehinggalah mangsa mengecam lelaki itu ketika 'bersembang' di dalam Internet bulan lalu, tetapi menggunakan nama yang berlainan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, mangsa yang percaya lelaki itu adalah suspek kerana menggunakan taktik serupa, telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil kerjasama dengan wanita itu, satu perangkap dipasang untuk memperdaya suspek.

"Setelah dipujuk, suspek bersetuju untuk datang ke negara ini dan ditahan sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, kelmarin.

"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek berusia 39 tahun bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat antarabangsa dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) Australia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek direman sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment