Saturday, October 15, 2011

mimpi temui sampan purba jadi kenyataan

Temui sampan selepas mimpi


SUNGAI PETANI - Mungkin bunyinya agak misteri dan pelik, namun hakikatnya itu yang berlaku kepada seorang penduduk di Kampung Pengkalan Lebai Man mengenai misteri penemuan sampan purba, lapan tahun lalu.

Hasan Budin Ibrahim, 58, bermimpi mengenai kedudukan sampan purba dalam sungai di belakang rumahnya sebelum tergerak hati untuk melihatnya sendiri keesokan harinya.

Menurutnya, dalam mimpi itu yang dialaminya pada malam Jumaat, lapan tahun lalu, ada seseorang memberitahu mengenai kedudukan sampan purba dalam sungai di belakang rumahnya.

“Saya berasa pelik mengenai mimpi itu namun, tidak mengambil kisah atau memikirkannya. Seperti biasa selepas bangun tidur saya terus membuat kerja kampung.

“Selesai membuat kerja saya pulang ke rumah untuk solat Asar, kemudian teringat mengenai mimpi itu. Saya tergerak hati untuk ke tempat yang dimaksudkan dalam mimpi dan terkejut apabila mendapati petunjuk dalam mimpi itu betul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.

Hasan Budin berkata, apabila pergi ke sungai seperti yang digambarkan dalam mimpinya, dia terkejut mendapati kepala sampan sepanjang 0.9 meter terbit di atas permukaan air.

Dia kemudian meminta pertolongan dua rakan untuk menarik sampan itu ke tebing sungai.

“Rakan ada bertanya macam mana saya tahu kedudukan sampan purba itu. Saya hanya menjawab mendapat mimpi malam sebelumnya yang menyuruh saya ke tempat itu untuk mengambilnya.

“Ramai yang tidak percaya namun itulah hakikatnya. Saya sendiri bingung dan tidak tahu bagaimana hendak jelaskan kepada orang yang bertanya. Ini kerana ramai rakan yang berulang-alik pergi memancing dengan bot mereka di situ setiap hari tetapi tidak pernah nampak kelibat sampan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, sampan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti dan kini ditempatkan di Muzium Lembah Bujang, Merbok, dekat sini.

Hasan Budin yang menghubungi muzium sejurus menjumpai sampan purba itu, menerima sijil penghargaan kerana menyerahkan artifak benda purba sebagai khazanah warisan negara pada 2003 dan menerima wang saguhati RM4,000.

“Selain sampan, saya turut menemui batil tembaga dan tembikar tanah. Batil dan tembikar itu juga diserahkan kepada muzium,” katanya.

No comments:

Post a Comment