Saturday, October 15, 2011

cikgu pun misteri

Cikgu misteri di N. Sembilan?

KAMI guru-guru kanan matapelajaran yang telah 'dilantik' pada Ogos tahun 2008 ingin menyatakan rasa dukacita yang teramat sangat kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) kerana mengarahkan kami melalui kerani sekolah masing-masing, memulangkan semula Elaun Tanggungjawab sebanyak RM120 dari mula kami dilantik sehingga Ogos 2011.
Pihak kami sudah meminta penjelasan daripada JPNS melalui Unit Perkhidmatan. Mereka akui berlaku kesilapan sewaktu mula pelantikan kami pada 2008 kerana alasan sekolah Gred B difahamkan waktu itu tidak layak menerima Guru Kanan Mata Pelajaran melalui pekeliling Kementerian Pelajaran tahun 2002. Namun perkara itu baru disedari pada tahun 2011 oleh pengurusan yang baru.
Walaupun kami merayu, namun jabatan mahukan kami memulangkan elaun tersebut secara potongan ansuran dari gaji kami selama enam bulan atau merayu memanjangkan tempoh. Dari kiraan kami jumlah bayaran balik mencecah RM5,000. Ini amat membebankan. Tidak adil. Sebagai satu cubaan bersikap lepas tangan.
Dalam usaha pihak kerajaan memperbaiki kebajikan guru, nampaknya, pihak jabatan sendiri secara tidak langsung telah menganiayai hampir 200 orang Guru Kanan sekolah Gred B khususnya di Negeri Sembilan yang dilantik secara 'misteri' oleh mereka.
Bagaimana mereka boleh tidak tahu pekeliling tersebut amat mendukacitakan kami sama sekali. Ini satu kerja lalai yang amat serius sama sekali.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah tenaga Guru Kanan tersebut telah dipergunakan sepenuhnya oleh Pengetua sekolah terbabit selama tempoh 'pelantikan misteri' tersebut sehingga ada antara sekolah Gred B tersebut mendapat Penghargaan Baiah seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran baru-baru ini. Kemudian mereka diminta pulangkan balik elaun tersebut setelah tenaga mereka dipergunakan?
Puncanya ialah sekolah terbabit Gred B. Kenapa sekolah ada unsur diskriminasi? Difahamkan di Seremban sahaja ada sekolah Gred B seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, Senawang dan SMK Seremban Jaya. Murid mereka mencecah seribu lebih. Bagaimana pula di Jelebu, Jempol dan lain-lain?
Kami dengan ini meminta Menteri Pelajaran menyiasat, meneliti dan menimbangkan semula perkara ini dengan serius kerana kesilapan dan diskriminasi sebegini telah menjatuhkan maruah dan menganiayai guru-guru terbabit dan bertentangan dengan akta pekerjaan dan dasar integriti nasional serta dasar rakyat didahulukan.

No comments:

Post a Comment