138 warga Afrika ditahan
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Seramai 138 warga Afrika yang merupakan pelajar di kolej swasta di negara ini telah ditahan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini kerana terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa yang mengakibatkan kerugian mangsa sebanyak RM940 juta.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan jumlah kerugian mangsa itu meningkat berbanding RM731 juta pada sepanjang tahun lalu dengan seramai 196 warga Afrika ditahan.
Kesemua mereka merupakan penuntut di 19 buah IPTS di sekitar Lembah Klang.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, kemasukan pelajar itu ke negara ini juga dipercayai telah diatur oleh sindiket warga negara tersebut hasil siasatan yang dijalankan pihaknya.
"Apabila ditahan suspek memberitahu mereka pelajar jurusan diploma dan ijazah namun terdapat dalam kalangan mereka tidak tahu membaca apatah lagi menulis.
"Dalam pemeriksaan lanjut dengan kolej tempat suspek menuntut pula, pusat pengajian tersebut menafikan warga asing terbabit adalah pelajar mereka sedangkan masing-masing mempunyai visa pelajar untuk berada di negara ini.
"Namun siasatan terperinci mendedahkan ada suspek telah memuat pendaftaran sebagai pelajar di kolej swasta dengan menggunakan nama palsu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara jenayah yang dikesan dilakukan oleh warga Afrika ialah penipuan kiriman barang, phishing dan Black Money.
Phishing boleh didefinisikan sebagai proses fraud jenayah dalam cubaan untuk memperoleh maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.
Tajuddin memberitahu, dalam penipuan tersebut penjenayah bukan sahaja menjadikan penduduk tempatan sebagai mangsa tetapi rakyat di negara lain.
"Negara ini dijadikan lokasi untuk melakukan penipuan sehingga melibatkan rakyat di negara lain dan akibat perbuatan itu, nama baik dan keselamatan negara terjejas.
"Malah penjenayah itu juga menggunakan nama agensi kerajaan, bank dan rakyat tempatan sebagai alat dalam melakukan penipuan," ujarnya.
Katanya, dalam siasatan JSJK sebelum ini pernah mendedahkan seorang daripada penjenayah warga Afrika berjaya membina sebuah hotel dengan kos jutaan ringgit di negara mereka hasil wang penipuan.
Menurutnya, kebiasaannya penjenayah dapat membina rumah bernilai jutaan ringgit dan hidup mewah selepas melakukan penipuan sepanjang tempoh 'belajar' di negara ini.
No comments:
Post a Comment