Wednesday, October 12, 2011

minta air ragut rantai

Warga emas diragut rugi RM5,000

SETIU 11 Okt. - Niat murni seorang wanita warga emas menghulur segelas air kepada seorang pemuda yang 'kehausan' mengundang padah apabila dia menjadi mangsa ragut lelaki itu, semalam.
Akibat kejadian yang berlaku di rumah mangsa di Kampung Fikri dekat sini, mangsa, Hitam A. Bakar, 74, kerugian kira-kira RM5,000 setelah seutas rantai emas yang dipakainya dilarikan suspek.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hitam yang tinggal bersendirian di rumah itu berkata, kejadian berlaku ketika suspek yang menunggang motosikal datang ke rumahnya sambil berpura-pura bertanyakan rumah 'Abang Man'.
Dia yang tidak mengetahui individu itu lalu menyuruh suspek bertanyakan jiran lain yang tinggal berdekatan.
"Yang peliknya, pemuda itu tidak pula pergi ke rumah jiran dan ketika berada di halaman rumah makcik, dia meminta segelas air dengan alasan terlalu dahaga selepas datang dari jauh.
"Kerana kasihan, makcik terus masuk ke dapur untuk mengambil segelas air dan semasa makcik menghulur gelas itu melalui pintu tingkap, dia terus meragut rantai leher makcik lalu melarikan diri," katanya.
Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Penarek dekat sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Rohaizat Abdul Ani ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment