Monday, October 24, 2011

satu ummah berhimpun

Pengajaran daripada Himpun


Golongan wanita turut menyertai Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor, kelmarin.


WALAUPUN niat murni Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Sabtu lalu sedikit sebanyak dicemari dengan pandangan politik serong sesetengah pihak, namun ia tetap berjaya diadakan.
Kehadiran hampir 10,000 umat Islam telah memberi isyarat kepada pihak tertentu supaya menghentikan sebarang usaha untuk menganggu gugat akidah umat Islam. Ternyata sekali, pandangan serong sesetengah pihak termasuk melihatnya daripada sudut politik tidak menjejaskan hasrat murni orang ramai untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Biar pun jumlah kehadiran tidak mencapai sasaran penganjur namun ia bukanlah isu, apa yang lebih penting ialah matlamat ia diadakan. Ini kerana perhimpunan berkenaan bukannya bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana golongan, parti mahupun pemimpin tetapi demi menegaskan pendirian berhubung kepentingan mempertahankan akidah umat Islam.
Sudah cukup umat Islam berpecah belah kerana berbeza fahaman politik, sudah cukup diadu-domba kerana merebut kuasa dan sudah cukup ada antara kita diperalatkan bagi mencapai cita-cita politik.
Justeru apabila Himpun diadakan ia bukan bertujuan politik ia jauh lebih murni daripada perhimpunan haram Bersih yang menghuru-harakan ibu negara tidak lama dulu.
Himpun diadakan secara tertib di dalam stadium dan dihadiri oleh alim ulama yang ceramah-ceramah mereka menyentuh soal pentingnya umat Islam bersatu demi mempertahankan akidah mereka.
Oleh itu apabila ada catatan-catatan sinis oleh pemimpin dan penyokong parti tertentu yang kononnya memperjuangkan Islam di dalam blog mengenai niat Himpun tersebut, maka ia tidak perlu dilayan.
Apa yang jelas mereka ini sudah ditutup pintu hatinya untuk melihat sesuatu perkara itu secara tulus dan ikhlas, apa yang ada dalam fikiran mereka hanyalah politik semata-mata. Keghairahan meraih sokongan politik terutamanya daripada kaum lain telah menyebabkan ada pemimpin politik Islam yang terlalu takut untuk memberi sokongan terbuka kepada Himpun.
Bagi menutupi kelemahan dan sandiwara politik mereka, golongan berkenaan cuba mengaitkan perhimpunan tersebut dengan UMNO.
Sebenarnya semua orang tahu, sokongan tersebut tidak mahu diberikan kerana bimbang pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi mereka dan demi menjaga hati rakan-rakan sekutu politik mereka.
Keadaan ini sebenarnya tidak menguntungkan umat Islam bagi jangka masa panjang, jika sebelum ini kita mungkin boleh berhujah bahawa orang Melayu dan umat Islam akan bersatu jika kedudukan bangsa serta agama mereka diganggu tetapi sekarang pandangan itu agak boleh dipersoalkan. Ini kerana ada segelintir kita sudah jelas menunjukkan sikap dan pendirian mereka yang meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Walaupun sekretariat Himpun sudah menjelaskan berkali-kali bahawa perhimpunan berkenaan bertujuan murni dan tiada sebarang unsur politik, namun pandangan tersebut tidak mahu diterima.
Perhitungan politik yang berteraskan matlamat merebut kekuasaan telah memungkinkan ada di kalangan kelompok Islam di negara ini seolah-olah tidak mahu bersatu biar pun ia menyentuh soal yang amat penting iaitu mempertahankan akidah umat Islam.
Namun begitu kita bersyukur kerana tidak semua umat Islam berkongsi atau dipengaruhi pandangan politik sempit seumpama itu, mereka tetap hadir ke perhimpunan n biar pun parti mereka tidak begitu menggalakkan. Dan kita juga yakin perhimpunan itu turut mendapat perhatian dan sokongan.
Apatah lagi, sayap-sayap parti seperti Dewan Pemuda Pas contohnya menyatakan sokongan kepada perhimpunan berkenaan dengan hujah umat Islam masih berpeluang untuk bertemu dan bersatu demi kerana akidah dan masa depan umat Islam yang perlu kepada kebangkitan semula.
Sememangnya soal akidah bukan soal politik, soal akidah bukan soal merebut kuasa tetapi ia adalah jihad dalam Islam. Kalau benar sesuatu kelompok atau kumpulan itu memperjuangkan Islam maka perhimpunan seperti mana Himpun itu perlu disokong.
Tetapi malangnya kita tidak melihat keadaan itu sepenuhnya dan ini sekali gus menggembirakan puak-puak tertentu yang sudah tentulah merasa gerun kalau melihat seluruh umat Islam di negara ini tanpa mengira apa juga latar belakang dan fahaman politik menyokong Himpun.
Tafsiran atau kenyataan yang cuba mengaitkan Himpun dengan agenda politik boleh dianggap pandangan dangkal dan jumud serta dilakukan oleh kelompok yang meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Dalam soal ini, kelompok itu perlu diperingatkan mengenai firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 52-54 yang bermaksud; Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu (asas pokoknya) dan Akulah Tuhan kamu, maka bertakwalah kamu kepada-Ku. Kemudian mereka menjadikan agama mereka berpecah-belah kepada beberapa aliran, setiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan itu sehingga ke sesuatu masa.''
Ingatlah peringatan oleh seorang raja Melayu bahawa pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil. Begitu juga dengan martabat agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dan kedudukan umat Islam sebagai rakyat teramai di negara ini.
Jangan biarkan perbalahan, perselisihan dan perbezaan fahaman politik mewujudkan jurang untuk kita bersatu biar pun ia berkaitan dengan usaha mempertahankan kedua-dua perkara itu. Kuasa politik tidak membawa apa- apa makna jika masa depan umat Islam dan agama Islam di negara ini terancam.
Oleh itu, cukup-cukuplah kita melihat segala-galanya dari sudut politik. Umat Islam akan menjadi lemah hanya kerana berebut kuasa politik dan apabila itu berlaku maka ia akan memudahkan pihak musuh mengambil kesempatan.
Kesimpulan, Himpun telah memberikan harapan baru kepada umat Islam dalam mencari titik pertemuan antara mereka dan mungkin selepas ini tidak mustahil perhimpunan berkenaan diteruskan ke seluruh negara.
Apa yang penting keikhlasan pihak yang terlibat untuk melihat umat Islam bersatu dan bukannya melihat ia dari sudut kepentingan politik semata-mata. Ingatlah seruan ini yang dilafazkan pada akhir perhimpunan berkenaan Sabtu lalu yang berbunyi; Himpun! Himpun!
Selamatkan Akidah!
Himpun! Himpun!
Satukan Ummah!
Himpun! Himpun!
Untuk-Mu Allah!!

No comments:

Post a Comment