Saturday, October 15, 2011

kerjaya jurufoto

Abadi kehidupan melalui foto


ANTARA gelagat Adi ketika cuba merakamkan objek yang dimahukannya.


LANTARAN minat yang mendalam dalam seni fotografi, Adi Akmal Sehrom, 25, menyertai kelab ko-kurikulum ketika menuntut di institut pengajian tinggi pada 2006. Melalui kelab itu, dia belajar teknik fotografi yang betul walaupun jurusan yang dipilihnya jauh berbeza.
Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak ini, mengabadikan kehidupan yang dilihat matanya ketika merantau ke serata dunia memberikan seribu satu pengajaran hidup untuknya memajukan diri.
Bertugas sebagai wartawan penyiaran dan juga penyampai berita untuk stesen TV AlHijrah ( Saluran 114, Astro), Adi berkata, dia banyak merantau ke negara lain untuk memenuhi tuntutan kerja.
“Ketika menziarahi negara orang, bermacam-macam pengalaman dapat ditempuhi.
“Sebagai manusia, saya akui tidak semua pengalaman itu mampu diingat dalam tempoh masa yang agak lama.
“Justeru tidak mahu ‘menghilangkan’ memori itu, saya merakamkan apa yang dilihat dengan menggunakan kamera Canon 600D,” katanya yang juga ahli kumpulan nasyid Devotees itu.
Mengagumi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, Adi menjelaskan, dia berhasrat untuk mendalami teknik fotografi landskap dan macro.
Ini kerana kata Adi, merakamkan foto yang mengandungi pemandangan saujana mata memandang membuatkannya berasa bersyukur dilahirkan ke dunia ini untuk melihat alam ciptaan Allah SWT.
“Tambahan pula, saya suka mengembara ke banyak tempat, jadi kesempatan itu saya gunakan untuk menajamkan skil merakamkan gambar pemandangan dan juga objek macro yang menarik,” tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai perbelanjaan bagi pencinta seni fotografi, Adi akur dengan kosnya yang tinggi.
Sebab itulah, ujar Adi, dia menyimpan wang sedikit demi sedikit agar dapat membeli dan mengumpul segala peralatan dan kelengkapan yang membantunya untuk merakamkan gambar yang lebih menarik pada masa akan datang.
“Buat masa ini, saya mengimpikan untuk mempunyai lensa kamera yang lebih bagus daripada sekarang,” kata Adi.

No comments:

Post a Comment