Lega akhirnya miliki lesen kelas B2
JASIN 23 Okt. – Sepanjang 33 tahun lalu, Hashim Bakar, 51, sering dilanda kebimbangan ditahan oleh pihak berkuasa setiap kali menunggang motosikal gara-gara tidak memiliki lesen memandu.
Bagi membuang perasaan bersalah itu, Hashim sudah beberapa kali menjalani ujian mendapatkan lesen, namun gagal sehingga mematahkan semangatnya meneruskan usaha tersebut.
Bagaimanapun, dia mencuba sekali lagi menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di SK Serkam Darat di sini dan akhirnya hari ini, impian Hashim itu menjadi kenyataan.
Menurutnya, walaupun agak lewat mendapatkan lesen motosikal, dia tetap puas dan tidak perlu bimbang lagi dengan kehadiran pihak berkuasa setiap kali menunggang motosikal.
“Saya amat berterima kasih kepada JPJ kerana memberi peluang kepada orang awam seperti saya mendapatkan lesen walaupun sepanjang tempoh 33 tahun saya tidak pernah dikenakan saman atau kompaun kerana tidak memiliki lesen, namun ia amat penting demi keselamatan diri serta pembonceng,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Hashim antara 324 orang terdiri daripada pelbagai kaum di negeri ini termasuk Orang Asli berusia 21 tahun yang berjaya memperolehi lesen motosikal yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.
Menurut salah seorang peserta Orang Asli, Emon Senkuang, 45, dari Perkampungan Orang Asli Bukit Raya di sini, dia bertekad mendapatkan lesen tersebut walaupun tidak kerap menunggang motosikal kerana tinggal dalam kawasan kampung.
“Pada mulanya saya agak sukar dan tidak memahami peraturan memohon lesen motosikal, namun JPJ banyak membantu saya dan rakan-rakan dalam menyelesaikan masalah komunikasi,” katanya.
Sementara itu menurut K. Suntari, 51, dia amat menghargai keprihatinan JPJ menganjurkan program itu sekali gus membolehkan golongan sepertinya mendapatkan lesen motosikal dengan mudah dan cepat.
No comments:
Post a Comment