Rumah siap tapi pahat berbunyi
KUALA LUMPUR – Itu peribahasa bagi menggambarkan kemelut yang dihadapi oleh 664 pemilik Pangsapuri Sungai Sering, Ampang dekat sini sejak enam tahun dahulu sampai sekarang.
Rata-rata mereka tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan mendiami rumah sendiri walaupun ia telah siap dibina oleh pemaju, Scenic Marina Sdn. Bhd. sejak tahun 2007 lagi.
Wakil pemilik, Khairuddin Mohamad, 49, berkata, pemaju tidak membenarkan pembeli memasuki rumah atas alasan tidak memiliki sijil kelayakan menduduki (CF) namun hairan kenapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan CF.
“Pemaju pada asalnya berjanji kepada pembeli bahawa mereka boleh mendiami rumah berkenaan pada tahun 2007, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sehingga ke hari ini, kami tidak dibenarkan menduduki pangsapuri tersebut dengan pelbagai alasan yang sukar diterima akal.
“Lebih mendukacitakan, pemaju hanya menyuruh saya agar duduk diam dan tunggu sahaja panggilan daripada mereka, namun semua itu hanya alasan untuk mengelakkan diri daripada menjawab pertanyaan kami,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu menurut Khairuddin, banyak kali aduan dibuat kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini, namun ia tidak mendatangkan hasil.
Tinjauan mendapati, pangsapuri yang terletak berdekatan dengan Bukit Antarabangsa dan mempunyai dua buah blok itu juga kelihatan sudah siap, namun prasarana di sekelilingnya seakan-akan terbiar.
No comments:
Post a Comment