Tuesday, October 4, 2011

jin dalam talian


Beli ‘khadam’ dalam talian
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop, Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KARUT...antara barangan yang dijual dalam laman web terbabit.
KARUT...antara barangan yang dijual dalam laman web terbabit.

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM100 hingga RM300, sebuah laman web kini dikesan cuba mempromosi ajaran khurafat kepada sesiapa saja yang berkeinginan untuk memiliki ilmu kebatinan seperti ilmu tujuh silat ghaib, kebal, berjalan atas air, ilmu khadam dan beberapa ilmu lain tanpa perlu melalui proses pertapaan dan latihan selama bertahun-tahun.

Setiap ilmu yang ingin dipelajari mempunyai harga yang sudah ditetapkan, asalkan pelanggan sanggup membayarnya dan segala ilmu yang dihajati akan diperturunkan, tetapi peliknya hanya melalui panggilan telefon pada waktu tertentu di samping menyediakan bahan termasuk kemenyan, limau nipis dan air telaga.


Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh untuk mendapatkan ilmu yang ditawarkan laman web itu. Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari, berkata orang ramai usah terpedaya dengan ilmu ditawarkan laman web terbabit kerana ia boleh memesongkan akidah.

Katanya, meminta pertolongan atau berdamping dengan khadam hukumnya haram di sisi syarak dan bertentangan ajaran Islam.


“Tindakan seseorang itu kononnya jika ilmu itu ingin berjaya perlu mendirikan solat dan berzikir satu tindakan untuk mengaburi mata orang ramai termasuk menghalalkan helah mereka sedangkan itu bertentangan dengan Islam.


“Solat dan zikir ialah cara untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, bukan satu cara untuk berdampingan dengan khadam sedangkan manusia tidak layak memohon pertolongan daripada jin kerana itu akan menambahkan kesombongan mereka,” katanya mengulas mengenai ilmu ditawarkan laman web terbabit. Selain pelbagai ilmu kebatinan, laman web itu turut menawarkan pelbagai barangan yang dikatakan mempunyai khasiat tersendiri seperti geliga lipan yang ditawarkan dengan harga RM10 juta, keris berdiri (RM80,000), minyak pengasih (RM450), minyak pengasih lidah jin yang dikatakan hanya ada sembilan botol di dunia ini yang dihantar melalui alam bunian oleh jin (RM300), minyak air mata bunian untuk penunduk dan pengasih (RM300), minyak harimau putih yang dikatakan mampu menggerunkan musuh pemakainya (RM250) dan beberapa koleksi barangan tembaga dan koleksi senjata lama pada harga yang tertera pada laman web itu.

Penganjur laman web itu ketika dihubungi Harian Metro berkata, bukan semua individu yang ingin ilmu yang dihajati akan berjaya kerana ia bergantung kepada keazaman seseorang.


“Seseorang yang mahu memiliki ilmu kebatinan ini perlu menghadapi beberapa peringkat ujian yang akan diuji khadam digelar Penghulu Lengkia selama tujuh hari. Hanya mereka yang berjaya melepasi ujian selama seminggu itu akan dikurniakan ilmu yang diinginkan.

“Lebih penting, individu itu perlu menjaga solat dan mengamalkan zikir Asma’ Husna sepanjang proses pembelajaran itu bagi memastikan ia berjaya,” katanya.


Mengulas kenyataan itu, Abdul Malek berkata, manusia sebaik-baik ciptaan dan lebih sempurna daripada jin. Justeru manusia hendaklah memohon bantuan dan pertolongan hanya daripada Allah dan tidak ada pihak lain yang layak.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Silat Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah ketika dihubungi berkata, tiada istilah belajar silat secara ghaib kerana ilmu itu perlu dipelajari secara fizikal untuk satu tempoh tertentu sebelum individu berkenaan mahir dalam sesuatu disiplin ilmu itu.


“Saya berpendapat ilmu kebatinan atau pengisian silat secara ghaib ini mustahil dan tidak mungkin akan berlaku tanpa pembabitan pihak ketiga atau menggunakan khidmat jin bagi tujuan tertentu,” katanya.


Dalam pada itu, Pengerusi Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju, berkata mereka yang menggunakan laman web itu untuk mendapatkan sebarang ilmu bertentangan dengan etika persilatan dan bimbang jika orang ramai berpendapat ia berkaitan dengan dunia persilatan.


“Sedangkan Nabi Muhammad yang bersifat maksum cedera ketika Perang Badar, apatah lagi kita manusia biasa yang sering melakukan dosa dan maksiat boleh memiliki ilmu seperti itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment