Tuesday, October 18, 2011

cari sayur jumpa mayat

Penduduk gempar temui lelaki parah, dua mayat

GERIK 17 Okt. - Penduduk di kawasan ini gempar apabila menemui seorang lelaki dalam keadaan cedera parah bersama dua mayat yang telah reput di bawah jambatan Kupang di Jalan Gerik-Kupang di sini hari ini.

Lelaki dan dua mayat itu ditemui seorang penduduk yang mencari sayur di bawah jambatan tersebut pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Manaf Bahari berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya lelaki yang masih hidup itu terselamat dalam cubaan membunuhnya bersama dua lagi mangsa.

Pihaknya percaya perbuatan jenayah itu dilakukan di tempat lain sebelum ketiga-tiga mangsa dicampakkan ke bawah jambatan tersebut.

"Lelaki dan dua mayat itu ditemui seorang penduduk yang terhidu bau busuk lalu mencarinya sehinggalah ternampak dua mayat yang sudah reput.

"Di sebelah mayat itu, ada seorang lagi lelaki, dipercayai rakan mereka terbaring dengan kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan.

"Sejurus dimaklumkan kejadian itu, sepasukan anggota pergi ke tempat kejadian dan menemui mangsa yang cedera parah dan tidak bermaya," katanya.

Menurut Abdul Manaf, kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala lelaki yang masih hidup dirawat di hospital sama.

Polis percaya ketiga-tiga mangsa itu warga asing kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mereka.

"Kita akan mendapatkan keterangan daripada lelaki yang cedera parah itu selepas dibenarkan oleh pihak hospital," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment