Tuesday, July 26, 2011

enggan mencerai

Suami Zakiah enggan cerai, timbangtara kali ketiga

PETALING JAYA 25 Julai - Buat kesekian kalinya, suami kepada Zakiah Anas tetap dengan pendiriannya untuk tidak menceraikan pengacara televisyen itu walaupun jawatankuasa hakam (timbangtara) yang dilantik bagi kali kedua mendapati tidak wujud lagi ikatan kasih sayang dalam hubungan rumah tangga mereka.

Menurut Mohamed Yusof Taib, 49, beliau enggan berbuat demikian kerana tidak diberi peluang untuk diadakan perbicaraan berhubung tuntutan cerai yang difailkan oleh isterinya sejak tahun lalu.

Beliau selaku defendan juga mendakwa personaliti itu gagal menjalankan tugas sebagai isteri dengan tinggal secara berasingan selama tiga tahun serta mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

''Saya terkilan perkahwinan yang dibina selama 18 tahun dibiar begitu sahaja dan turut kasihan dengan anak-anak yang ditinggalkan oleh plaintif.

''Yang Arif, berilah peluang kepada saya agar mahkamah mengarahkan Zakiah menukar permohonan cerai kepada fasakh,'' rayu Mohamed Yusof di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Selain itu, ahli perniagaan tersebut tidak bersetuju dengan proses khuluk (tebus talak) seperti yang dicadangkan oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad mengikut Seksyen 48(6) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Selangor 1984.

Hakim syarie tersebut mencadangkan khuluk selepas meneliti laporan hakam yang dibentangkan kepadanya oleh wakil-wakil jawatan kuasa tersebut.

Wakil-wakil tersebut terdiri daripada peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie bagi pihak Zakiah manakala Mohamed Yusof diwakili Imam Masjid Kampung Johan Setia Wangsa Maju, Tuan Mohd. Zamani Tuan Ahmad.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, 45, kemudiannya memberitahu bahawa anak guamnya enggan menuruti saranan Mohamed Yusof supaya diadakan permohonan fasakh.

Ujar Abdullah Anuar, sekiranya defendan tidak berpuas hati dengan khuluk, beliau boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Wan Mahyuddin selepas itu memanggil wakil-wakil hakam tersebut dan bertanyakan sama ada mereka bersetuju dengan cadangan khuluk.

Wakil-wakil tersebut masing- masing menyatakan tidak ada persetujuan mengenai khuluk serta tidak bersedia untuk melafazkan khuluk walaupun diberi kuasa mengikut undang-undang untuk berbuat demikian.

''Setelah melihat hakam yang dilantik gagal kerana tidak berani melafazkan khuluk walaupun diberi kuasa, jadi mahkamah tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.

''Oleh demikian, saya memutuskan hakam tersebut dibatalkan dan mahkamah dengan ini melantik proses yang sama (hakam) untuk kali ketiga yang akan terdiri daripada pegawai-pegawai sulh,'' kata Wan Mahyuddin.

Beliau menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan prosiding hakam tersebut.

Sebelum jawatan kuasa itu dibentuk, proses yang sama telah dijalankan pada April lalu, namun ia turut gagal mendamaikan dan memujuk pasangan itu untuk hidup semula sebagai suami isteri.

Mahkamah sebelum itu turut membentuk sebuah badan yang dinamakan Jawatankuasa Pendamai, namun ia juga gagal mendamaikan mereka.

Zakiah dan suaminya berkahwin sejak 18 tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment