Wednesday, July 20, 2011

merogol dalam tandas awam

Peniaga didakwa rompak, rogol dua wanita di tandas awam

KUALA LUMPUR 19 Julai - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak dan merogol dua wanita di dalam tandas awam dalam dua kejadian berasingan, dua minggu lalu.

Endry Roni Afandi, 27, dari Gombak dekat sini didakwa merompak wanita berusia 32 tahun dengan bersenjatakan pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar raya, Dang Wangi di sini antara pukul 5.15 dan 5.30 petang, 8 Julai lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh yang bertubuh kurus itu didakwa merogol sehingga boleh menyebabkan ketakutan, kematian dan kecederaan terhadap mangsa tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kes kedua, dua hari selepas kejadian pertama, lelaki itu didakwa merompak seorang wanita lain berusia 24 tahun menggunakan pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di stesen minyak Shell, Danau Kota, Setapak di sini antara pukul 2 dan 5 petang.

Tertuduh turut didakwa merogol wanita itu sehingga boleh menyebabkan ketakutan, kematian dan kecederaan terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan merompak, lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang berbelang putih dan kelabu itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan.

Sementara bagi tuduhan merogol pula, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) kanun sama.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tuduhan ke atas tertuduh adalah serius.

Bagaimanapun, peguam bela, Rusnan Hassan memohon tertuduh diberikan jaminan memandangkan anak guamnya itu tiada rekod jenayah lampau dan ahli keluarga lelaki itu hadir sebagai penjamin.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin setiap minggu, dilarang mendekati mangsa dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan penjamin yang berbeza bagi setiap kes.

Perbicaraan ditetapkan pada 10 dan 11 Oktober ini bagi kes pertama dan 24 dan 25 Oktober ini bagi kes kedua.

No comments:

Post a Comment