Sunday, July 24, 2011

tipu ratus ribu

RM257,000 dirampas

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Julai - Polis Daerah Ampang Jaya berjaya menumpaskan sindiket penipuan melibatkan pemindahan wang selepas menahan tiga lelaki dan merampas wang tunai sebanyak RM257,000 pada 15 Julai lalu.

Kejayaan itu diperoleh selepas seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus syarikat membuat laporan polis mendakwa ditipu sebanyak RM340,000 oleh sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa yang berusia 34 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa daripada sebuah bank.

Menurutnya, nombor telefon yang digunakan sindiket itu hampir sama dengan nombor telefon Bank Negara Malaysia.

"Pemanggil itu memaklumkan kepada mangsa bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan kad kredit, sebelum menyambung panggilan kepada seorang wanita yang kononnya pegawai bank negara.

"Pegawai bank negara itu pula menyambung panggilan tersebut kepada lelaki yang didakwa seorang pegawai polis dan ketika itu mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh sindiket itu jika ingin membuat transaksi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, berikutan itu mangsa bertindak memindahkan sebanyak RM340,000 ke dalam akaun sindiket tersebut.

Katanya, kesemua penipuan itu dilakukan melalui satu panggilan dan mangsa juga tidak dibenarkan memutuskan panggilan serta dinasihatkan tidak memberitahu sesiapa.

Amiruddin memberitahu, hasil siasatan, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 27 tahun selain merampas 27 keping kad bank dan 15 buah buku bank.

Jelasnya, suspek dikesan memiliki rekod lampau berhubung jenayah penipuan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment