Saturday, July 16, 2011

polis boleh tembak

Polis boleh lepas tembakan, dilindungi undang-undang jika munasabah

SHAH ALAM 15 Julai - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa pegawai atau anggota polis bukan sahaja dibenar melepaskan tembakan malah dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya ia dilakukan atas sebab-sebab yang munasabah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Dan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Razali Basri berkata, ia merupakan arahan sah yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGPSO) Bahagian D222.

Jelasnya, perintah tersebut juga merupakan arahan, kawalan dan maklumat yang dijadikan sebagai panduan utama atau prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga dalam perbicaraan kes terhadap Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lalu.

''Perkataan yang digunakan dalam perintah tetap itu ialah pengguna senjata api (anggota polis) boleh menggunakan senjata api dalam keadaan munasabah.

''Ia terpulang kepada anggota polis yang sedang menjalankan tugas bagi menentukan munasabah atau tidak untuk melepaskan tembakan.

''Dalam kes kejar-mengejar, terpulang kepada pengguna senjata api untuk melepaskan tembakan bagi menghentikan kereta," katanya ketika menjawab soalan peguam, M. Athimulan yang mewakili tertuduh.

Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sedang membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut Razali, pihak polis juga diberi kebenaran menggunakan senjata api bagi mempertahankan diri serta menembak suspek dalam kes serangan ke atas balai atau pos kawalan, serangan berbahaya, kes rogol, nafsu luar biasa dan kes culik atau melarikan orang secara salah.

Begitu juga kes mengurung secara salah, penggunaan kekerasan sehingga menimbulkan ketakutan, mendatangkan kematian atau cedera parah, bagi menghalang rompakan atau pecah rumah pada waktu malam serta menghalang suspek melarikan diri.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, saksi mengakui adalah tidak wajar untuk seseorang anggota polis melepaskan tembakan kepada pemandu yang sekadar melanggar lampu isyarat serta memandu laju.

Bagaimanapun, jelas beliau, penggunaan senjata api adalah munasabah termasuk melepaskan tembakan yang banyak bagi menghentikan pergerakan kereta jika pemandu berkenaan menghala ke arah orang ramai seperti tempat melintas.

Sementara itu, perenggan ketiga dalam IGPSO menyebut bahawa penggunaan senjata api dibenarkan termasuk dalam operasi cawangan trafik bagi mempertahankan diri atau bimbang akan membahayakan nyawa orang lain atau harta yang dijaga.

Sementara perenggan keempat pula antara lain menyebut anggota polis tidak perlu bimbang terhadap tindakan undang-undang sekiranya mereka tidak sengaja atau mempunyai sebab-sebab yang munasabah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung 22 Julai ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment