Wednesday, July 20, 2011

lepas samun lari ke balai polis

Penyamun tersilap langkah lari di hadapan IPK

SEREMBAN 19 Julai - Tiga lelaki yang melarikan diri selepas menyamun seorang suri rumah di Kuala Pilah menjerat leher sendiri apabila tersalah masuk laluan di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Akibatnya, polis terpaksa menembak kaki salah seorang suspek berusia 40 tahun ketika dia melarikan diri di hadapan IPK itu sebelum ditahan bersembunyi di sebuah kedai keranda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dua lagi rakan suspek berusia 30 hingga 40 tahun dapat melarikan diri dan mereka kini diburu oleh polis.

"Ketiga-tiga suspek sebelum itu menyamun rumah seorang wanita berusia 36 tahun pada pukul 9.30 pagi di Taman Impian, Kuala Pilah.

"Dalam kejadian itu, salah seorang suspek tiba-tiba melompat pagar rumah mangsa dan mengacukan parang sebelum merentap dua utas rantai emas yang dipakai wanita itu," katanya pada sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan, hari ini.

Menurut Hamdan, mangsa yang hamil dua bulan kemudian dibawa oleh penduduk taman itu ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, seorang saksi yang melihat kejadian itu segera melaporkan kepada polis termasuk jumlah suspek, jenis kenderaan serta nombor pendaftaran yang digunakan mereka.

Berdasarkan maklumat tersebut, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua Kancil dinaiki suspek di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan segera mengarahkan mereka berhenti, namun suspek terus memecut kenderaan itu.

"Kenderaan mereka itu bagaimanapun tersilap kerana memasuki laluan menghala ke IPK negeri sebelum polis melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tayar kereta itu.

"Kereta dinaiki penjenayah itu kemudian terbabas sebelum melanggar pagar Masjid Jamek Seremban di sini," kata Hamdan.

Ketika melarikan diri, katanya, salah seorang suspek cuba merampas sebuah motosikal milik anggota polis, dan ketika itu seorang anggota peronda melepaskan satu das tembakan mengenai betis kanannya.

Hasil tangkapan itu, polis menemui sehelai jaket hitam, tiga pemutar skru, satu tukul besi, tiga bilah parang, sebilah kapak dan sepasang sarung tangan dipercayai digunakan untuk jenayah dalam kenderaan suspek," katanya.

Menurut Hamdan, kenderaan yang dinaiki suspek itu dicuri di Jalan Sungai Keramat, Klang pada 12 Jun lalu dan nombor pendaftarannya adalah palsu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment