Wednesday, July 13, 2011

laluan superbike

Mahu laluan biasa untuk superbike

SAZALIE BS
Sungai Besi, Kuala Lumpur

DI negara kita khas laluan motosikal disediakan untuk kenderaan menggunakan dua roda seperti motosikal dan basikal. Ada laluan yang disediakan memenuhi kehendak piawaian jalan raya, namun banyak juga yang menyediakan sekadar 'siap' sahaja.

Ada di antara laluan ini berlubang di sana-sini, air mengalir dari longkang, tampalan yang tidak sempurna, turapan yang kurang baik, jalan tidak rata, bonggol, tidak diselenggara dengan baik selain laluan yang sempit. Bukan niat untuk memperkecilkan kemudahan yang disediakan, tetapi lihatlah sendiri.

Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pengguna, malah turut memberi kesan kepada kenderaan, terutama kenderaan dalam kelas superbike. Suspensi motosikal jenis ini tidak sama seperti motosikal biasa. Ia direka khas untuk laluan yang rata agar pengawalan mudah dilakukan. Selain berat, motosikal berkuasa 600cc ini berharga puluhan, malah ratusan ribu ringgit.

Tidak kira ia daripada jenis superbike, sportbike, toure atau cruiser, ia sebenarnya kurang sesuai digunakan di jalan berlubang mahupun tidak rata. Motosikal ini direka mengikut piawaian dunia permotoran berkuasa besar, oleh itu adalah perlu digunakan di laluan yang juga mempunyai standard piawaian jalan raya.

Bukan itu sahaja, malah kini ada pengeluar motosikal berkuasa 250cc turut mengeluarkan motosikal yang mempunyai ciri superbike sebenar tetapi hanya dibezakan dengan kuasa 'cc' sahaja.

Semakin canggih model dan reka bentuk motosikal masa kini, seharusnya ia juga selari dengan kemudahan laluan untuk kenderaan seperti ini. Ada sesetengah laluan yang boleh diibaratkan seperti laluan motorcross. Berlubang serta turapan yang pecah, laluan seperti ini amat tidak sesuai untuk motosikal superbike dan yang seangkatan sepertinya.

Sehubungan itu, mohon pihak berkuasa memberi kelonggaran untuk motosikal jenis yang disebutkan itu menggunakan laluan biasa, bukan laluan motosikal, dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan harganya.

Andainya pihak berwajib menyediakan laluan motosikal yang mempunyai tahap piawaian jalan raya sebenar, kami tidak teragak-agak menggunakannya.

No comments:

Post a Comment