Wednesday, July 20, 2011

kerana dadah terjun tingkat 8


Maut terjun tingkat lapan

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


ANGGOTA polis unit forensik memeriksa mayat seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat lapan ketika cuba melarikan diri sewaktu serbuan polis di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU 19 Julai - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.

Dalam kejadian pukul 11 pagi ini, lima lagi suspek tempatan, termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun diberkas kerana dipercayai menjadikan bilik hotel berkenaan sebagai pusat transaksi jual beli pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, methampethamine, Eramin 5 dan heroin bernilai kira-kira RM60,000 dalam bilik hotel berkenaan.

Selain itu, katanya, turut ditemui ialah mata wang tempatan dan Baht Thailand kesemuanya dianggarkan berjumlah RM90,000 dalam sebuah kotak.

"Polis mendapat maklumat awal wujud transaksi dadah dijalankan di hotel itu. Selepas melakukan intipan dan mengenal pasti lokasi hotel yang dimaksudkan, serbuan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di salah sebuah bilik di tingkat sembilan.

"Polis mengarahkan pintu yang dikunci dari dalam dibuka, namun suspek enggan menyebabkan kita terpaksa memecah masuk ke dalam bilik itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Azham, sebaik pintu dibuka, lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berada di dalam.

Seorang lagi suspek melarikan diri dengan terjun melalui tingkap ke tingkat lapan, tetapi ditemui mati di tingkat dua hotel berkenaan.

Lelaki berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, dipercayai memecahkan siling tandas di dalam bilik tersebut untuk melarikan diri melalui lubang angin tetapi gagal, kemudian bertindak terjun melalui tingkap," katanya.

Katanya, mayat suspek itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment