Sunday, July 31, 2011

tanpa negara

Mereka penduduk tanpa negara

Oleh Zulkefli Hamzah

ALBIS bin Ajan, bukan orang biasa di Pulau Danawan, Semporna. Selain aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, dia dianggap penghubung dengan anggota tentera yang bertugas di pos pulau berpenduduk 1,400 orang ini.

Lelaki berusia 54 tahun yang dibawa merantau oleh bapanya dari Pulau Manuba, Filipina pada awal 1970-an ini pun sudah tidak lagi menganggap dirinya sebagai pendatang.

Dia yang sehari-hari bekerja sebagai peraih ikan mahu dikenal sebagai rakyat Malaysia. Beberapa kali dia menyatakan rasa syukur kerana akhirnya diberi taraf penduduk tetap.

Tetapi yang menjadi kebimbangannya ialah nasib anak dan cucu-cucunya. Mereka tiada sijil lahir. Mereka dianggap sebagai rakyat tanpa negara - bukan rakyat Malaysia mahupun Filipina.

Kumpulan rakyat tanpa sijil lahir atau pendatang di Sabah yang jumlahnya ratusan ribu ini, kebanyakannya tinggal di pulau-pulau kecil termasuk di Danawan.

"Saya sangat mengharapkan dapat menghantar anak saya belajar di penempatan (asrama) di Semporna. Tapi kerana tiada sijil lahir, mereka tidak layak," kata Albis.

Selain cuba memberikan didikan secukupnya, Albis turut mendedahkan anak-anak dan cucunya dengan tarian tradisional Bajau. Sejak 11 tahun lalu, tarian daling-daling umpamanya tidak lagi asing bagi keluarga Albis.

Kini tiga orang anak, dua cucu dan seorang anak saudaranya aktif mengembangkan tarian itu. Dan kerana tarian itu juga, khidmat Albis sentiasa dicari setiap kali Pulau Danawan didatangi tetamu kenamaan ataupun ada majlis perkahwinan dan keraian lain.

Tetapi sungguh ironis, gadis-gadis muda penyambut tetamu keluarga Albis ini yang bermegah mempromosi budaya tempatan rupa-rupanya bukan penduduk yang diiktiraf.

Pulau Danawan, seluas 0.63 kilometer persegi ini sentiasa dikunjungi tetamu kenamaan - daripada kumpulan badan bukan kerajaan, perwakilan asing sehingga keluarga diraja. Pulau yang diteroka oleh Maharaja Mahmud Sangkalang dan Panglima Abu Sari Goni dari Derawan, Indonesia sekitar tahun 1911 ini secara purata menerima enam kunjungan kenamaan setiap tiga bulan.

Mungkin sebab itu, nama Albis dan keluarganya popular di pulau ini. Hubungan Albis, sebagaimana penduduk Pulau Danawan dengan anggota tentera di pulau itu sangat akrab. Anggota tentera terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan di pulau ini khususnya dalam program jiwa murni pasukan itu.

Malah kerana Albis yang sentiasa bergerak dari pulau ke pulau untuk meraih ikan daripada para nelayan tradisional sebelum dihantar ke Semporna, dia juga dianggap sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

"Saya rasa syukur kerana sejak adanya Op Pasir, persekitaran pulau pantai timur Sabah ini aman. Tiada lagi rompakan mahupun penculikan berlaku. Mencari rezeki tidak lagi sukar," jelas bapa kepada 10 orang anak ini.

Setelah keamanan dikecapi sejak kes penculikan di Pulau Sipadan dan Padanan pada April 2000 yang mendorong kerajaan melancarkan Op Pasir (Operasi Pandanan dan Sipadan Resort) bagi mengawal perairan Sabah, kini penduduk mahu beranjak ke tahap kualiti hidup yang lebih baik.

Sebab itu sekolah rendah, balai raya dan surau mahupun kemudahan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang ada di Pulau Danawan masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi kehendak dan harapan penduduk.

Teratur

Langkah pertama yang perlu diatasi segera ialah menyelesaikan isu kerakyatan - perkara asas yang seharusnya diselesaikan sejak dulu lagi agar pelbagai urusan khususnya pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.

Bagaimana mungkin anak pulau ini boleh keluar daripada kepompong kemiskinan jika status warga negara pun tidak jelas? Bagaimana mungkin penduduk boleh merasai nikmat sebagai rakyat Malaysia, kerana tiada urusan rasmi yang boleh mereka lakukan?

"Satu usaha perlu dilakukan melangkaui kepentingan politik untuk mengatasi masalah ini," kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap pada majlis merasmikan balai raya di pulau itu, baru-baru ini.

Zahid yang dalam rangka lawatan ke pangkalan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama media di perairan Sabah mahu masalah itu diselesaikan atas dasar kemanusiaan. Sudah sampai waktunya, 'pendatang' yang beranak-pinak di bumi Malaysia ini diberi kerakyatan.

Walaupun kemasukan beramai-ramai rakyat tanpa negara ini bakal mengubah komposisi penduduk Sabah yang mungkin ditakuti oleh pihak-pihak tertentu tetapi hakikatnya tiada lagi alasan untuk menunda-nunda hak mereka itu.

Dalam kehidupan anak pulau yang serba daif itu, mereka yang kebanyakannya beragama Islam sudah sewajarnya diberi peluang untuk menikmati kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang sebenar.

Seperti Albis, mereka hanya mampu mengharap ada pihak yang dapat menyegerakan proses pendaftaran sijil kelahiran mereka. Mereka juga berharap usaha lebih besar dilakukan dalam memastikan anak-anak pulau itu tidak terus terpinggir khususnya dalam aspek pendidikan.

Kehidupan mereka di persekitaran laut mungkin boleh dimanfaat secara lebih baik jika anak-anak pulau ini diberi peluang mendapat pendidikan setinggi yang termampu.

Jadi tidaklah nanti, mereka terus dilihat sebagai 'bahan lawatan' tetapi sebaliknya boleh berbangga atas kemampuan mengubah taraf hidup walaupun tinggal di pulau terpencil.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment