Sunday, February 27, 2011

Bunuh Diri Sebab Tertekan

Maut akibat tekanan emosi

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Seorang kakitangan bank ditemui mati dengan lebih 10 kesan tikaman di perut dan dadanya dipercayai akibat tekanan emosi di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan Wangsa 11, Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Mangsa, Lee Soong Chin, 56, bapa kepada tiga anak ditemui berlumuran darah oleh isterinya berusia 51 tahun setelah terjaga daripada tidur pukul 6.40 pagi.

Ketika itu, mangsa dikatakan sedang 'nyawa-nyawa ikan'.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mati selepas menikam diri sendiri menggunakan sebilah pisau.

"Bunyi bising seperti orang menumbuk menyebabkan isteri mangsa yang berasal dari British terjaga daripada tidur menyangka suaminya itu meracau.

"Bagaimanapun, isteri mangsa terkejut apabila menemui pisau berdekatan suaminya yang terbaring atas katil sebelum menyedari lelaki itu sudah nyawa-nyawa ikan.

"Ketika kejadian, ketiga-tiga anak pasangan terbabit sedang tidur bagaimanapun terjaga apabila mendengar jeritan ibu mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Amiruddin memberitahu, sebilah pisau dipercayai digunakan mangsa ditemui di tingkat tiga, lokasi kejadian.

"Setakat ini polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

"Berdasarkan keterangan daripada ahli keluarga, mangsa dikatakan sering dilihat murung sebelum ditemui mati," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang juga pelakon, Elly Suriati Omar berkata, dia terkejut dengan insiden tersebut kerana mangsa dikenali sebagai Peter merupakan seorang peramah dan baik hati.

"Dia sudah menginap di sini lebih daripada 15 tahun dan selalu bertegur dengan jiran-jiran di sini.

"Peter dan keluarganya sering menyertai jamuan makan diadakan setiap tahun sempena sambutan Hari Kemerdekaan," katanya.

"Kami sebagai jiran tidak pula mengetahui jika dia atau keluarga mengalami sebarang masalah dan tekanan," katanya.

No comments:

Post a Comment