Saturday, February 19, 2011

Sos Cili cicak

Sos cili berperisa cicak


ALOR SETAR: “Ketika tuang sos cili ke dalam mangkuk, saya ternampak satu objek dan selepas menguis, saya dapati ia bangkai cicak.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada tukang masak, Nor Hashima Mohd Noor, 29, dan dia menyuruh saya jangan menggunakan sos cili itu kerana bimbangkan kesihatan pelanggan yang memakannya,” kata Nurhayati Abu Hasan.


Nurhayati, 25, berkata sos cili berjenama terkenal itu dibeli dengan harga RM7 untuk 2.8 liter di sebuah kedai runcit di Pekan Langgar, di sini dan mereka sudah biasa menggunakan sos itu untuk memasak mi kerana kuahnya menjadi merah dan pekat.

Dia menyedari penemuan bangkai cicak itu kira-kira jam 9 pagi ketika menuangkan sos itu ke dalam mangkuk untuk menyediakan 15 bungkus mi bandung yang ditempah guru di sebuah sekolah rendah untuk jamuan tengah hari.


“Sebelum ini, kami akan tuang terus sos itu ke dalam periuk untuk memasak kuah mi bandung tetapi hari ini (semalam), saya menuang dulu ke dalam mangkuk untuk sukatan sebelum memasak.


“Apabila saya memberitahu kepada pembantu kedai lain, ada yang termuntah melihat bangkai cicak itu yang sudah hampir terburai perutnya di dalam sos itu.


“Kalau saya dah buka sos itu dan biarkan beberapa jam dalam keadaan terdedah mungkin kesilapan kami sehingga menyebabkan cicak itu jatuh tetapi ini lain pula jadinya apabila ia ditemui sebaik botol sos itu dibuka,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Pekan Langgar, di sini, semalam.


Nurhayati berkata, dia cuba menghubungi syarikat pengeluar sos itu berdasarkan nombor telefon yang tertera pada botol lut sinar itu, tetapi kecewa kerana nombor berkenaan gagal dihubungi.


Katanya, dia bukan mahu memburukkan jenama syarikat sos itu tetapi mahu mendedahkan kepada syarikat pengeluar sos berkenaan supaya berhati-hati ketika membungkus sos bagi mengelakkan perkara itu berulang.


“Saya akan membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (Cake) untuk memaklumkan perkara itu bagi memudahkan tindakan diambil,” katanya.


Sementara itu, Presiden Cake, Datuk Yusof Ismail ketika dihubungi berkata, pengadu perlu datang ke pejabatnya dengan segera dan membawa bangkai cicak bersama sos itu sebagai bukti mereka terbeli produk yang dicemari dengan benda asing yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan.


Beliau berkata, pihaknya akan menghantar sampel sos itu ke jabatan kesihatan untuk dianalisis bagi mengenal pasti tahap kebersihannya.


“Kita banyak menerima aduan berhubung penemuan benda asing atau serangga di dalam produk cecair seperti sos serta kicap daripada pengguna dan kita meminta jabatan kesihatan untuk menjalankan siasatan terhadap kebersihan di kilang pengeluar sos cili terbabit.


“Pengguna seolah-olah teraniaya dengan apa yang berlaku dan mereka boleh membuat aduan jika tidak berpuas hati bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment