Sunday, February 20, 2011

PR

NASIB PENDUDUK TETAP (PR)

SAYA seorang India Muslim yang masuk ke Malaysia pada 1975 menggunakan permit masuk dan mendapat pendidikan sehingga ke peringkat kolej. Kini saya bekerja di Kuala Lumpur, membayar cukai dan telah berkahwin dengan seorang warganegara di sini.

Pada Januari lalu, seorang rakan menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) yang diterimanya dari persatuan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di bawah pimpinan Datuk Syed Ibrahim kepada saya yang tertera ‘sesiapa memiliki kad pengenalan merah sila hadir ke pejabatnya di Masjid India pada 20/1/2011, masa 9.30am’. Setibanya di pejabat tersebut pada pukul 9 pagi hari berkenaan, saya terkejut melihat kira-kira 350 orang penduduk tetap (PR) dan kami diberikan borang keahlian Kimma untuk diisi dengan bayaran RM5 setiap seorang untuk mendapatkan borang warganegara.

Saya dan warga PR lain kemudian menemui 12 wakil Kimma dengan borang kewarganegaraan yang turut meminta salinan permit masuk, salinan kad pengenalan merah, empat keping foto bersaiz pasport dan dua keping foto bersaiz kad pengenalan. Setelah selesai, kami disuruh membuat bayaran RM50 tanpa resit.

Saya tiada pilihan lain dan terpaksa membayar jumlah tersebut walaupun tanpa diberikan resit. Kami seterusnya dihantar kepada dua orang pegawai lain untuk mengambil cap jari pada borang kewarganegaraan tersebut.

Pada 16 Februari lalu pula, saya membaca laporan yang menyatakan My Daftar akan menganjurkan program masalah kewarganegaraan antara 19 hingga 26 Februari 2011 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Maju Junction, sesuatu yang dinanti-nantikan PR yang telah lebih 10 tahun tinggal di negara ini. Sebelum ke sana, saya telah menghubungi talian yang disediakan 03-88865200 dan diberikan maklumat tentang dokumen yang perlu dibawa. Layanan yang diberikan sungguh bagus dan memuaskan hati.

Persoalan utama yang timbul di sini adalah mengapa PR perlu menjadi ahli Kimma dengan bayaran RM5 untuk mendapatkan borang kewarganegaraan serta mengapa RM50 lagi diarahkan dikutip tanpa memberikan resit? Anggaran RM17,500 dikutip Kimma pada 20 Januari (RM50 x 350 PR). Adakah duit itu pergi kepada Kimma atau pihak lain atau mungkin kepada pegawai yang mengambil cap jari kami yang tidak diketahui sama ada mereka pegawai JPN atau Kementerian Dalam Negeri.

Adakah ini nasib PR yang boleh dipermainkan sesetengah pihak demi kepentingan mereka sendiri? Adakah PR di negara ini tidak selamat atau dikategorikan sebagai golongan kurang upaya dan terpaksa akur sahaja apa yang diarahkan oleh sesiapa sahaja?

Bantulah kami (PR) dengan ikhlas dan janganlah memperdayakan kami dengan mengambil duit atau memaksa menjadi ahli. Walaupun meninggal dunia dengan kad pengenalan merah sekalipun saya tetap bersyukur dengan kehidupan saya selama 31 tahun di negara ini.

PR TERANIaYA

No comments:

Post a Comment