Monday, February 21, 2011

Enggan Berjauhan

Enggan berjauhan punca penganggur gagal dapat kerja

KUANTAN 20 Feb. - Sikap pencari pekerjaan dan penganggur yang enggan berjauhan dengan keluarga menjadi punca kegagalan mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan kelulusan akademik mereka.

Pengarah Tenaga Kerja Pahang, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, kebanyakan mereka yang datang ke Program Penempatan Pekerjaan (3P) yang berlangsung di Indera Mahkota di sini hanya mahu bekerja berdekatan dengan kediaman keluarga atau sekitar negeri ini.

"Sebenarnya begitu banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada pencari kerja terutama di kalangan siswazah tetapi kebanyakannya di luar Pahang.

"Saya amat berharap mereka mempunyai mobiliti yang lebih daripada itu dan tidak semata-mata mahu bekerja di tempat sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program 3P Azam Kerja dan temu duga di Kompleks Dagangan Mahkota di sini hari ini.

Program 3P yang bermula semalam dan berakhir hari ini menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan dengan penyertaan 47 majikan dari seluruh negara.

Menurut Wan Zulkifli, sepatutnya mereka merebut peluang mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan bagi mendapatkan lebih pengalaman dalam sesuatu bidang.

"Sebagai contoh, banyak peluang pekerjaan ditawarkan di Shah Alam, Selangor; Pulau Pinang; Johor Bharu, Johor dan Kuala Lumpur.

"Mereka tidak seharusnya takut bekerja di luar Pahang sebaliknya mempraktikkan segala pengalaman di sana dan bawa balik ke sini satu ketika nanti," ujarnya.

Beliau meminta pihak majikan segera melakukan temuduga kedua dan menempatkan individu terbabit bekerja dengan syarikat mereka selepas berjaya melepasi sesi pertama melalui program 3P ini.

"Jika syarikat berkenaan di luar Pahang, Jabatan Tenaga Kerja sudi menyediakan tempat khas dan membantu memanggil semula mereka yang layak untuk sesi temuduga seterusnya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment