Tuesday, February 22, 2011

Memilih Pekerjaan

Sikap terlalu pilih kerja punca pengangguran

KUANTAN 21 Feb. - Sikap terlalu memilih pekerjaan merupakan faktor utama meningkatnya bilangan pengangguran di negara ini.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk yang terkini, Program Penempatan Pekerjaan (3P) tetapi jika pencari pekerjaan itu masih meletakkan beberapa syarat maka peluang pekerjaan seolah-olah tertutup buat mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia pada program yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam mendapati rata-rata daripada mereka memilih untuk tinggal bersama keluarga dan bekerja di dalam pejabat sahaja.

Jika syarat itu yang diletakkan mereka maka masalah pengangguran tidak akan dapat ditangani dengan berkesan.

Menurut seorang pegawai dari Felda Plantation Sdn. Bhd., Yusof Anuar Abdul Wahab, sepanjang dua hari menyertai Program 3P, kebanyakan pencari kerja tidak berminat dengan kerja yang ditawarkan.

"Kalau berdasarkan gaji, ia amat setimpal dan mereka boleh menjana lebih pendapatan sekiranya rajin membuat kerja lebih masa.

"Daripada 340 kekosongan yang ditawarkan iaitu daripada jawatan pembantu am, pemandu lori dan penuai, hanya 55 kekosongan sahaja dapat diisi," katanya ketika ditemui di Kompleks Dagangan Mahkota di sini.

Tambahnya, selain gaji, mereka juga akan menerima faedah pekerjaan seperti perumahan, subsidi bekalan air dan elektrik, pengangkutan persekolahan anak-anak dan bantuan perumahan selepas persaraan.

"Bagaimanapun, semua ini gagal menarik minat pencari kerja kerana mereka lebih berminat bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin daripada bekerja di ladang," jelasnya.

Bagi Penolong Pengurus Besar Sumber Manusia, Canon Opto Malaysia, Amir Rashid Mohd. Talha, masalah utama yang menyebabkan kegagalan mereka mendapatkan pekerjaan ialah prestasi calon berkenaan yang terlalu tinggi daripada jawatan ditawarkan.

"Sebagai contoh, jawatan juruteknik hanya memerlukan kelulusan sijil tetapi kebanyakan calon yang hadir adalah di kalangan pemegang diploma dan ijazah.

"Jika kita menerima mereka maka akan menimbulkan masalah dari aspek skim gaji yang tidak sesuai dengan kelulusan," jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang pencari pekerjaan, Mohd. Azman Yahia, 24, dia memilih bekerja di sekitar bandar ini kerana enggan berjauhan dengan keluarga.

"Cukuplah saya berjauhan dengan keluarga di zaman persekolahan dan universiti memandangkan ibu dan bapa semakin tua.

"Justeru, saya akan berusaha mendapatkan apa sahaja pekerjaan di sekitar sini walaupun terlepas beberapa peluang pekerjaan lain yang memerlukan saya tinggal di luar daripada Pahang," jelasnya yang berasal dari Felda Chini, Pekan dekat sini.
TAJUK-TAJUK BER

No comments:

Post a Comment