Monday, February 14, 2011

Pengedar Masih Sekolah

Pelajar sekolah antara lima ditahan bersama ganja bernilai RM240,000 di Pulau Pinang


GEORGETOWN: Seorang pelajar tingkatan lima adalah antara lima lelaki yang ditahan dalam satu operasi membabitkan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM240,000 di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superitnedan S Batumalai berkata, kelima-lima mereka yang berusia antara 17 dan 50 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang di Jalan Air Itam.


"Berdasarkan maklumat awam dan intipan sejak seminggu lalu, sepasukan anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta jenis Honda yang dinaiki oleh empat lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Air Itam di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui ketulan dadah seberat 61.3 kilogram bernilai kira-kira RM240,000 yang disembunyikan dalam satu ruang dalam kereta," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.


Beliau berkata polis juga menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan mengekori kereta itu, dipercayai mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.


Batumalai berkata siasatan mendapati dadah itu adalah untuk edaran di sekitar negeri ini.


"Salah seorang daripada mereka juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.


Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung. - Bernama

No comments:

Post a Comment