Tuesday, February 22, 2011

Kes Rogol Meningkat

Kes rogol libat pelajar Kelantan meningkat

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendapati kes rogol yang melibatkan pasangan berumur 18 hingga 28 tahun termasuk pelajar sekolah di negeri itu membimbangkan, kata Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisoner Mazlan Lazim.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan lagi ialah mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual itu terdiri daripada kanak-kanak berumur serendah 12 tahun.

"Berdasarkan perangkaan, sebanyak 41 kes rogol termasuk 38 kes melibatkan remaja bawah umur 17 tahun berlaku di seluruh negeri dari bulan lepas hingga semalam.

"Jumlah ini meningkat 7.89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (38 kes) dan ia agak membimbangkan kita," katanya ketika merasmikan Majlis Pelantikan Badan Wakil Pelajar dan Lembaga Disiplin Pelajar Sesi 2011 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu bermula daripada pergaulan bebas pasanga terbabit, terutama melalui laman sosial seperti Facebook dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Menurutnya, pelajar perlu menghindari daripada terjebak kes liwat atau lesbian yang boleh menyebabkan mereka ketagihan dan khayal sekali gus mendapat peluang melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.

“Selain itu, pelajar diminta menghindari pergaduhan sekalipun berpunca daripada perkara remeh untuk menjaga imej sekolah yang baik, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, sebaliknya mempunyai disiplin tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya polis sedang memperhebatkan gerakan turun padang ke sekolah-sekolah untuk mendekatkan polis dengan warga pendidik dalam usaha membendung gejala itu.

Beliau berkata, polis juga mendapati kes kecurian motosikal membabitkan remaja dan pelajar sekolah turut menjadi perhatian pihaknya.

Mengenai keanggotaan Rakan Cops, beliau berkata sejak ia dilancarkan di negeri ini tujuh tahun lepas terdapat hanya 15,000 orang mendaftar sebagai anggota.

“Kita menyasarkan 100,000 anggota Rakan Cops dapat didaftarkan sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Pelajar turut didedahkan mengenai demonstrasi anjing pengesan (K9) dan motosikal polis berkuasa tinggi dengan pelbagai aksi.

No comments:

Post a Comment