Saturday, February 19, 2011

Tunai Cek Orang

Orang lain tunai cek pinjaman
Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my
JOHOR BAHRU - "Bank tidak boleh lelong rumah saya kerana saya tidak terima satu sen pun pinjaman semula yang dibuat pada 2006.

"Saya minta bank siasat bagaimana duit tersebut boleh terlepas ke tangan orang lain sebelum mengambil sebarang tindakan."

Itu kenyataan tegas Aziham Abdul Aziz, 34, setelah rumah yang didiami kedua orang tuanya, Abdul Aziz Ibrahim, 75, dan Zahrah Mohamad, 68, mendapat arahan bank akan dilelong kerana tidak menjelaskan ansuran pinjaman.

"Bank sepatutnya memberi saya cek untuk pinjaman semula dengan mencagar rumah atas nama saya sebanyak RM102,000 tetapi apa yang menghairankan, bagaimana kakak saya, Nor Azidah, 37, boleh terima wang tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana cek yang dikeluarkan oleh bank tersebut sepatutnya hanya saya sahaja yang boleh tunaikan," katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA Cawangan Tampoi di sini semalam.

Jelas Aziham, dia memang membuat pinjaman tersebut untuk membantu kakaknya yang dalam kesusahan dengan mencagar sebuah rumah miliknya di Taman Universiti, Skudai di sini yang dibeli sejak 22 tahun lalu.

Katanya, walaupun masalah ini melibatkan keluarga, apa yang menjadi persoalan kenapa wang atau cek tersebut tidak diserahkan kepadanya oleh pihak bank selain boleh ditunaikan oleh orang lain?

"Ekoran tunggakan sejak 2006, jumlah yang dituntut oleh bank kini adalah sebanyak RM140,000 menyebabkan kedua ibu bapa saya sentiasa dalam keadaan takut," katanya.

Menurut Aziham yang bakal dikenakan tindakan muflis, pinjaman dengan mencagar semula rumahnya itu dibuat tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut.

"Saya memohon pihak bank supaya menyiasat bagaimana masalah ini boleh berlaku sebelum bertindak melelong rumah saya.

"Untuk tidak terus menjadi mangsa, saya minta pihak bank menghubungi Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Micheal Tay Chee Boon di talian 019-7778935 yang akan menjawab bagi pihak saya," ujarnya.

Jelas Aziham, dia dan ibu bapanya pernah beberapa kali pergi ke rumah Nor Azidah di Bandar Seri Alam di sini tetapi kakaknya itu telah menghilangkan diri.

No comments:

Post a Comment