Monday, February 21, 2011

Hotel Penuh Nak Undi Di Kerdau

Semua hotel habis ditempah menjelang PRK DUN Kerdau

TEMERLOH 20 Feb. - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini telah mengubah landskap ekonomi di kawasan itu berikutan permintaan terhadap hotel terkenal dan hotel bajet serta rumah sewa mendapat permintaan luar biasa berbanding sebelumnya.

Bagi yang belum mempunyai penginapan untuk berkempen pada PRK DUN Kerdau, mereka pasti kecewa kerana kerana semua hotel yang ada di daerah ini telah pun ditempah sejak lima hari lalu.

Pengurus Hotel Seri Malaysia cawangan Temerloh, Rosli Yusoff berkata, semua 50 bilik yang ada di hotel tersebut sudah penuh sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, kebanyakan tempahan bilik hotel dibuat oleh petugas media melalui telefon dan ada yang datang sendiri sejak beberapa hari lalu.

"Kebanyakan mereka akan mula masuk esok (hari ini) sehingga 7 Mac ini untuk bertugas pada pilihan raya kecil itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengurus Hotel Jelai, Syarini Morshidi berkata, hotelnya menjadi pilihan utama kalangan ahli politik yang akan berkampung dan berkempen pada pilihan raya kecil itu.

Menurutnya, lokasi yang strategik dan terletak di tengah pusat bandar ini menjadi pilihan utama ahli politik Barisan Nasional (BN) sebagai lokasi mereka bermalam sepanjang kempen pilihan raya itu diadakan.

"Hotel itu terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Kerdau dan sudah tentu menjadi pilihan mereka.

"Semua 49 bilik yang ada termasuk bilik persediaan sudah ditempah sehingga 7 Mac ini," katanya.

Sementara itu, ketiadaan bilik hotel menyebabkan mereka yang berkempen mula beralih mencari rumah untuk disewa.

Seorang penduduk di Seberang Temerloh di sini, Sallahudin Majid, 31, berkata, harga sewa rumah yang ditawarkan bergantung kepada keadaan rumah dan jarak dari lokasi pilihan raya tersebut.

Menurutnya, di Seberang Temerloh sahaja harga sewa rumah yang pada kebiasaannya adalah RM300 sebulan kini melambung kepada RM2,000.

"Ada rakan saya menyewakan rumah kepada ahli politik sehingga RM5,500 untuk tempoh dua minggu.

"Kawasan Seberang Temerloh dan bandar Temerloh menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik untuk berkempen di kedua-dua bahagian DUN Kerdau yang terpisah oleh Sungai Pahang," katanya.

Seorang peniaga kedai makanan, Ahmad Salleh berkata, harga makanan yang dijual di premisnya masih kekal dan tidak dinaikkan.

"Harga makanan dan minuman masih kekal, pertambahan pelanggan di kedai memang tidak dinafikan menyebabkan saya terpaksa membuat tambahan bekalan makanan," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment