Friday, February 25, 2011

Rugi 2 ribu akibat nak kaya cepat

Niat ingin labur dan dapat untung besar, akhirnya tertipu

BATU PAHAT 24 Feb. - Akibat ingin cepat kaya, seorang lelaki kerugian RM2,000 apabila mudah menyerahkan wang itu kepada tiga lelaki yang hanya dikenali melalui telefon setelah ditawarkan peluang pelaburan lumayan dalam perniagaan import peralatan pertukangan.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an memasukkan wang itu ke dalam akaun salah seorang suspek bulan lalu untuk menjadi rakan kongsi mereka.

Suspek kemudian meminta wang tambahan sebanyak RM5,000 menyebabkan mangsa mula curiga kerana pelaburan awal yang diberikan masih belum mendatangkan hasil.

Mangsa yang mula bimbang dirinya ditipu telah membuat laporan polis awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, hasil risikan, pihaknya berjaya mengesan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an di sebuah bank di Taman Intan di Kluang pada 11 Februari lalu.

"Polis telah menghampiri kereta Toyota Vios dinaiki suspek dan mengarahkan mereka supaya berhenti. Namun, mereka bertindak nekad melanggar pintu kereta peronda polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Fawzi berkata, polis kemudian mengejar suspek dan meminta bantuan pasukan peronda lain setelah mendapati kereta dinaiki suspek menghala ke arah lebuh raya.

Menurutnya, kereta itu berjaya ditahan dan dua daripada suspek ditangkap manakala seorang lagi turun dan melarikan diri di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Machap.

"Bagaimanapun, lelaki itu yang juga dalang utama kumpulan tersebut berjaya ditahan di rumahnya di Taman Melodi, Kluang tidak lama kemudian.

"Kita dapati kereta yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Johor Bahru dengan nombor casis, enjin dan nombor pendaftaran telah diubah," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan polis juga sedang menyiasat pembabitan mereka dalam kes penipuan tersebut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment