Saturday, November 5, 2011

100 tahun baru dapat geran

Impian 100 tahun dapat geran tanah tercapai


ARISS Samsudin (dua dari kiri) menyampaikan geran tanah kepada penduduk di Kampung Peserai Pantai, Mukim 3, Semerah, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 3 Nov. - Sebanyak 109 keluarga yang menetap di Kampung Peserai Pantai, Mukim 3, Semerah dekat sini sejak 100 tahun lalu, gembira apabila menerima geran tanah yang mereka duduki itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah, Datuk Ariss Samsudin memberitahu, pemberian geran itu membuktikan kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sentiasa mendengar dan prihatin mengenai masalah rakyat di kawasan berkenaan.
"Dengan selesainya masalah penempatan ini yang melibatkan tanah seluas 66,000 meter persegi, ia akan membuka ruang baru kepada penduduk di sini supaya mereka dapat hidup dengan lebih baik dan selesa," katanya semasa menyampaikan geran tersebut kepada penerima berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Tadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Mahadon Marnin dan Penghulu Mukim 3, Yusuf Abu Bakar.
"Inilah buktinya kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan rakyat juga perlulah faham setiap permasalahan perlu diselesaikan secara berperingkat-peringkat," katanya.
Sementara itu, Mahadon turut menasihatkan penerima geran supaya tidak menukar hak milik tanah mereka atau menjualnya kepada orang luar dan segera membayar premium yang ditetapkan.
"Tanah ini adalah warisan kita. Jadi, seboleh mungkin jangan sampai ia terlepas ke tangan orang lain kecuali ahli keluarga masing-masing," katanya.
Ketua kampung, Salleh Basir, 78, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya impian penduduk memiliki tanah tersebut tercapai,
"Sejak sekian lama kami menantikan saat menerima geran ini dan ini merupakan detik yang cukup bersejarah bagi kami," katanya gembira.

No comments:

Post a Comment